fbpx

Kesepakatan 6 NGO dalam industri vape mohon RUU GEG ditangguhkan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Industri vape memiliki ekosistem yang meluas sehingga mampu mengubah kos sara hidup golongan B40. -Gambar hiasan

PETALING JAYA – Jawatankuasa Pilihan Khas Kesihatan menggesa agar Rang Undang-undang (RUU) Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 ditangguhkan penguatkuasaannya.

Kenyataan tersebut telah dimuat naik di laman sesawang Parlimen Jawatankuasa Pilihan Khas Kesihatan bagi menimbang semula penguatkuasaan RUU  Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023.

Ia adalah antara 12 rumusan jawatankuasa di dalam laporan semakan RUU.

Penangguhan penguatkuasaan seperti yang termaktub dalam peruntukan kesalahan pada seksyen 18 dan 19 RUU tersebut akan di bawa ke satu tempoh masa tertentu atau sehingga laporan berkala yang diperlukan oleh RUU itu dibentang.

Menyokong tindakan tersebut, sebanyak enam pertubuhan bukan kerajaan (NGO)  dalam industri rokok elektronik atau vape telah mengadakan satu sidang media baru-baru ini di Kuala Lumpur bagi memohon RUU Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023  ditangguhkan.

NGO tersebut adalah Malaysia E-Vaporizers and Tobacco Alternative Association (MEVTA), Malaysia Retail Electronic Cigarette Association (MRECA), Malaysia Vape Industri Advocacy (MVIA), Malaysia e-Liquid Brewers Association (MEBA), Persatuan Peniaga Vape Melayu (PPVM) dan Dewan Perniagaan Vape Malaysia (DPVM). 

Wakil semua NGO tersebut telah menyerahkan satu memorandum kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas mendakwa mereka disisihkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM).

Ridhwan Rosli

Mengulas lanjut, Setiausaha Agung DPVM, Ridhwan Rosli berkata,  industri tidak pernah meminta sebarang bantuan daripada kerajaan sejak bertapak di Malaysia sebaliknya terpaksa berhadapan dengan pelbagai halangan untuk berkembang.

“Jika dilihat pada industri lain, mereka minta macam-macam. Tetapi kami tak minta subsidi pun apa. Apa yang kami minta adalah satu RUU yang boleh mengawal selia industri ini agar ia lebih selamat. 

“Tidak ada industri yang meminta dikawal selia. Hanya industri vape. Kawal selia yang kami minta tetapi sekarang ini seolah ditekan pula dengan GEG,” katanya.

Tambah belliau, industri ini telah mencipta ekosistem yang sangat besar dengan hampir 200,000 isi rumah bergantung kepada pendapatan daripadanya.

“Ini adalah industri milik orang Melayu, kerana industri vape, hidup ramai orang berubah. Jika kita tutup periuk nasi, apa kita nak beritahu pada keluarga mereka?” soalnya.

Selain itu, Timbalan Presiden MVIA, Rustam Affendi Ismail Rahimi menerangkan, pada masa hadapan, apabila RUU ini akan dibentangkan sekali lagi, industri berharap kerajaan boleh mengambil kira pandangan dan keluhan industri dan menyertakan mereka dalam libat urus dari mula hingga RUU dibentangkan.

”Jika kami tidak bersuara, siapa lagi. Ini adalah perjuangan kami dan kami akan berjuang sehingga akhir. 

“Ini periuk nasi 50,000 pemain industri daripada pekerja, pengilang dan peruncit. Ramai pekerja kami daripada golongan B40. Ada yang tidak pernah bersekolah. 

“Industri ini memberi peluang kepada mereka untuk bekerja dengan gaji yang setimpal untuk menyara keluarga mereka.

”Kerana itu kami mahu berjumpa sendiri dengan Perdana Menteri untuk menyuarakan cadangan dan keluhan kami,” tegasnya. -KOSMO!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI