fbpx
DJ LIN

Kalah populariti, DJ Lin tak ‘mati’ hati

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

TEWAS mempertahankan trofi Penyampai Radio Popular yang sudah bertahun-tahun menjadi miliknya, penyampai radio terkemuka, DJ Lin tidak pernah berpaling atau menjeruk rasa untuk terus aktif melestarikan kecintaannya.

Empat bulan sudah berlalu, namun penangan Anugerah Bintang Popular ke-35 (ABP35) masih berbekas di hati sesetengah pihak.

Penyampai juga orang kuat radio Suria FM antaranya yang dirasakan terpalit tempias, lebih-lebih kemenangan rakan setugas, Tyzo membuat kejutan menang trofi Penyampai Radio Popular ABP35.

Kemenangan Tyzo sekali gus menamatkan penguasaan DJ Lin selama empat kali berturut-turut di takhta berkenaan.

Tidak merajuk duka, namun tidak juga menafikan kehampaan, pemilik nama lengkap Roslinda Abdul Majid bagaimanapun selesa memilih untuk menghargai jasa peminat yang mengharap dirinya beroleh kemenangan.

GAGAL mempertahankan trofi Penyampai Radio Popular pada tahun ini, DJ Lin tetap bersemangat untuk terus memberikan yang terbaik dan melayan peminat dengan seikhlas hati. – IQBAL ROSLI

“Untuk Anugerah Bintang Popular lalu, saya bersama peminat seluruh Malaysia dan luar negara sudah lakukan yang terbaik.

“Mereka juga sudah melaksanakan tugas apabila mengundi saya tanpa henti.

“Semuanya saya saksikan sendiri tetapi apabila jawapan tidak berpihak kepada saya, sejujurnya tidak dinafikan, saya dan peminat berasa kehampaan,” katanya membuka bicara.

Mahu meredakan keadaan, wanita berusia 48 tahun itu cuba menenangkan peminat dan menerima semua ketentuan dengan hati terbuka.

“Namun, saya cuba tenangkan peminat kerana saya percaya ada rezeki lain. Adat pertandingan ada kalah ada menang.

“Saya sangat reda dengan qada dan qadar Allah tetapi saya tidak duduk diam goyang kaki dan akan lebih bertungkus lumus nanti,” ujarnya lagi.

Meski tewas di tangan rakan setugas, penyampai radio asal Larkin, Johor Bahru itu bersyukur kerana pengalaman tersebut memberikan banyak pengajaran dan rezeki lebih baik buatnya.

“Saya percaya apa berlaku ada hikmah apabila saya nampak ada pertambahan pengikut dalam media sosial.

“Di sini, saya lihat ada yang Allah ambil tetapi Dia juga Maha Memberi. Allah Maha Adil.

“Paling penting, saya tetap layan peminat sebagai sebahagian daripada hidup,” tutur alumni Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu.

Bagi ibu tunggal itu, insiden kekalahan tersebut ternyata banyak membuka matanya tentang kesetiaan peminat yang tidak henti-henti memberikan sokongan padu.

PADA usia ini, DJ Lin menjadi seorang selebriti yang semakin menghargai peminat.

Kesetiaan peminat

“Apabila terjadinya begini, saya sedar betapa setianya peminat terhadap saya.

“Kesetiaan mereka tidak boleh dibandingkan dan tidak boleh dibeli dengan wang ringgit. Semuanya buat saya semakin bersemangat.

“Perkara utama adalah saya tidak akan putus asa. Allah mahu tengok kita
jatuh supaya tidak berhenti

berusaha,” tuturnya.

Dalam masa sama, dia sedia maklum dengan kebijaksanaan peminat yang tahu menilai baik buruk seseorang artis.

“Peminat tidak bodoh. Mereka boleh bandingkan sama ada kita ikhlas atau hanya menggunakan mereka demi sesuatu kepentingan.

“Daripada dahulu lagi saya ambil pendekatan untuk membalas setiap komen dan mesej peribadi yang dihantar peminat. Saya juga layan mereka dengan baik sewaktu diajak bergambar.

“Bagi saya, bukan selalu untuk jumpa peminat. Apa pun keadaan kena rendah diri dan banyak bersyukur,” ujarnya.

MEneruskan usaha melebar pengaruh di hati pendengar, Suria FM akan membawakan Konsert Suriavolusi pada 21 Oktober ini di The Curve, Petaling Jaya dan di KB Mall, Kota Bharu, Kelantan pada 28 Oktober nanti.

Suriavolusi

Selaku Pengurus Besar Suria FM, DJ Lin bertanggungjawab menggerakkan aktiviti stesen berkenaan.

Bersama pasukannya, Dj Lin kini dalam rangka membawakan konsert Suriavolusi di The Curve, Petaling Jaya dan KB Mall, Kota Bharu hujung bulan ini.

Katanya, acara yang mendapat kerjasama AC Gas tersebut bertujuan untuk meluaskan pengaruh di hati pendengar pendengar Suria.

“Konsert ini diadakan bertujuan untuk meluaskan lagi sasaran pendengar Suria khususnya di kawasan Pantai Timur.

“Hal ini kerana setelah sekian lama kami tidak menyantuni peminat di Kelantan, akhirnya dapat direalisasikan menerusi jalinan kerjasama padu bersama AC Gas,” katanya yang tidak sabar bertemu pendengar.

Konsert Suriavolusi akan menemui peminat di The Curve pada 21 Oktober dan seterusnya di Kota Bharu, Kelantan pada 28 Oktober ini.

Pengunjung dapat beramah mesra dengan barisan penyampai radio Suria seperti Ajak, Shuib, Suraya, Cik Piah, Rara, Tyzo dan DJ Lin sendiri.

Pengunjung juga dapat berhibur dengan persembahan artis popular seperti Azlan and The Typewriter, Khai Bahar, Adira, Aris Ariwatan, Baby Shima, Floor 88 dan Kristal X.

DJ LIN percaya, sokongan pendengar terhadap radio Suria FM akan terus mekar dengan adanya program jelajah.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN