fbpx

Bekas Home Guard era Darurat meninggal dunia di usia 114 tahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Allahyarham Mat Ariffin.

LIPIS – Bekas Home Guard era Darurat 1948, Mat Ariffin Mat Deris, 114, yang merupakan anggota paling tua di negara ini meninggal dunia pada pukul 5.30 petang semalam di Kampung Tanjong Buluh di sini.

Anak Allahyarham, Zulkifli Mat Ariffin, 50, berkata, ayahnya meninggal dunia di rumah akibat sakit tua selepas kesihatannya mula terjejas sejak tiga bulan lalu.

“Keadaan ayah sangat tenat sejak dua hari lalu dan kami ahli keluarga di sini dan saudara-mara dari Kelantan mula berkumpul di sisi arwah sehinggalah dia menghembuskan nafas terakhir.”katanya di Kampung Tanjong Buluh dekat sini malam tadi.

Menurut Zulkifli, allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Tanjong Buluh pada pukul 10 malam semalam.

Yang turut hadir di tanah perkuburan ialah Ketua Polis Daerah Lipis, Superintenden Azli Mohd. Noor, Timbalan Ketua Polis Daerah Lipis, Idros Ismail dan Pegawai Pentadbiran Hal Ehwal Awam, Inspektor Mohamad Khairul Anam Ismail.

Sejarah pembabitan Allahyarham Mat Ariffin sebagai homeguard bermula era Darurat 1948 dan kemudiannya sebagai anggota polis di Balai Polis Meranti berdekatan Pasir Mas sebelum negara merdeka.

Allahyarham bertugas mengawal kawasan kampungnya ketika ancaman Komunis di Kampung Kuin Merah, Rantau Panjang dan Kampung Banggul Cik Wan berdekatan Pasir Mas sekitar tahun 1950-an.

Allahyarham Mat Ariffin mempunyai dua orang isteri, 13 orang anak berusia antara 45 hingga 76 tahun dan 40 cucu menamatkan tugasnya sebagai home guard setelah pasukan itu dibubarkan pada 1 Julai 1959 apabila pengganas komunis yang berjuang secara gerila meletakkan senjata. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI