PETALING JAYA – Kemelut menjelang mesyuarat agung luar biasa (EGM) khas KNM Berhad (KNM) yang akan diadakan pada 16 Oktober ini semakin ketara apabila ‘orang kuat’ dalam kumpulan Lembaga Pengarah baharu yang dicadangkan, bersuara dalam satu kenyataan akhbar yang diedarkan hari ini.
Tunku Kamariah Aminah Maimunah Iskandariah Sultan Iskandar adalah salah seorang daripada kumpulan lembaga pengarah baharu yang dicadangkan untuk pemilihan dalam mesyuarat tersebut.
Beliau menggesa para pemegang saham KNM untuk mengundi pada EGM itu bertujuan untuk melindungi hak pengundian mereka dan menyelamatkan syarikat tersebut.
“Dalam mesyuarat secara maya, lembaga pengarah sedia ada boleh mengarahkan pendaftaran pemegang saham yang tidak hadir dalam mesyuarat tersebut secara haram bagi membolehkan mereka mengundi secara haram tanpa sebarang pemeriksaan sewajarnya yang dibuat,” katanya.
Kamariah menyarankan agar pemegang saham KNM memikul tanggungjawab masing-masing dan mengundi pada hari EGM bertujuan untuk mengelakkan tuntutan mahkamah dibuat sehingga membolehkan satu keputusan yang tidak diingini berlaku terhadap syarikat.
Tambah beliau, kecekapan pengarah baharu yag dicadangkan dalam EGM telah dipilih dengan teliti dan menyatakan kemampuan mereka untuk membawa KNM keluar daripada status PN17.
Kumpulan itu telah merangkakan visi untuk lima tahun akan datang termasuk suntikan modal baharu, pengambilalihan aset baharu untuk meningkatkan kapasiti, pelaburan besar-besaran dalam projek baharu, bekerjasama dengan badan-badan antarabangsa serta mendapatkan kontrak jangka panjang yang baharu.
“Kami mempunyai sumber tempatan dan Eropah untuk membantu KNM menyelesaikan pembayaran hutang. Mungkin, pemindahan hutang sekitar 160 juta euro melalui bridging loan dan penerbitan bon khas.
“Dan kami mempunyai sumber untuk pengumpulan modal sekitar RM400 juta melalui latihan korporat yang sesuai,” tambahnya.
Beliau menjelaskan bahawa EGM bukanlah satu pertandingan antara Jerman dan Malaysia seperti yang digambarkan oleh beberapa pemberita yang dangkal dalam menganalisis situasi.
Kebanyakan ahli lembaga yang dicadangkan daripada pihak beliau adalah rakyat Malaysia. Sebaliknya, ini adalah tentang usaha kerjasama antara orang Jerman dan Malaysia untuk menyelamatkan dan membangunkan KNM, mencipta pekerjaan, dan melindungi kepentingan semua pemegang saham yang kebanyakannya rakyat Malaysia.
Selain itu, Tunku Kamariah menasihati lembaga pengarah sedia ada agar menghentikan segera semua kata-kata keji dan kenyataan palsu terhadap pengarah baharu yang dicadangkan dalam EGM.
“Semua kata-kata keji dalam laman web tertentu mengenai pengarah yang dicadangkan dalam EGM adalah tidak berasas dan ia harus dihentikan. Tidak ada tangan ghaib dalam mesyuarat itu nanti,” tegasnya. – KOSMO!ONLINE