fbpx

1MDB: Keberadaan Roger Ng dirahsiakan atas faktor keselamatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Razarudin ketika sidang akhbar di Bukit Aman hari ini. FOTO: KOSMO!/AMIN AZMAN

KUALA LUMPUR – Keberadaan bekas pegawai bank Goldman Sachs, Roger Ng Chong Hwa, 51, yang tiba di Malaysia semalam, dirahsiakan bagi memastikan keterjaminan keselamatannya dalam membantu siasatan berkait penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, Roger Ng telah dibawa balik dari Amerika Syarikat pada Ahad dan ditahan Polis Diraja Malaysia (PDRM) keesokannya bagi siasatan lanjut serta pemulihan aset.

“Dia telah ditahan oleh kita, itu sahaja yang boleh saya beritahu. Dimana ditahan itu adalah kepentingan keselamatannya sendiri dan kita tidak akan laporkan mengenai hal berkenaan.

“Kita lebih tahu maklumat keselamatannya dan disebabkan perkara kita mengambil keputusan untuk tidak mendedahkan di mana dia ditempatkan.

“Buat masa ini tiada keperluan untuk dia dipakaikan peranti pemantauan elektronik (EMD). Sekiranya ada keperluan, baru kita akan pasang,”ujarnya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia Bukit Aman, di sini, hari ini.

Jelasnya, siasatan terhadap Roger Ng mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan serta Seksyen 4 (1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLA).

“Siasatan masih diteruskan bagi pemulihan aset 1MDB. Hasil penahanan ini, kita mengharapkan kerjasama daripada dia selepas dijatuhkan hukuman selama 10 tahun di Amerika Syarikat (AS).

“Kerjasama daripada dia membantu kita untuk mendedahkan aset-aset fizikal atau bukan fizikal yang lain seperti rumah, bangunan, kenderaan yang dibeli serta akaun,”ujarnya.

Razarudin berkata, pihaknya dibenarkan melakukan siasatan ‘no time limit’ terhadap Roger Ng sehingga mendapat keputusan yang memuaskan.

“Kerjasama kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Diraja (SPRM) serta Suruhanjaya Sekuriti (SC) akan dibenarkan selepas siasatan kita tamat dan berpuas hati.

“Kes dibawah SC telah dijatuhkan ketika dia berada AS dan kemungkinan keperluan SC masih ada. Mengenai individu lain yang terlibat, ia berpandu kepada siasatan yang diberi tempoh yang sangat baik.

“Kita akan maklumkan dari masa ke semasa mengenai perkembangan kes ini kerana ia merupakan kepentingan rakyat. 1MDB ini adalah duit kerajaan serta rakyat jadi ia sangat mustahak untuk dimaklumkan,” katanya.

Mengulas lanjut perkara berkenaan, beliau berkata, segala keterangan yang dikemukakan di AS sebelum ini akan diguna pakai dan diambil maklum berdasarkan kepentingan siasatan.

“Daripada soal siasat, kita akan mengambil kira segala aset termasuk aset di luar negara. Selain membawa kepada penangkapan individu lain, kita juga perlu melihat modus operandi seperti kaedah penjualan dan komisen yang diperoleh,” jelasnya.

Dalam pada itu, siasatan terhadap Roger Ng ini dilihat berpotensi membantu pelbagai pihak, bukan sahaja PDRM, malah SPRM dan SC dalam mendedahkan maklumat serta keberadaan Jho Low. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI