fbpx

1,912 calon simpanan doktor kontrak dilantik jawatan tetap

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN

PUTRAJAYA- Suruhanjaya Perkhidmatan Awam meluluskan pelantikan tetap seramai 1,912 calon simpanan melibatkan pegawai perubatan, pegawai pergigian dan pegawai farmasi untuk mengisi baki kekosongan jawatan tetap di Kementerian Kesihatan (KKM).

KKM dalam satu kenyataan berkata, kelulusan itu melibatkan sejumlah 1,226 calon simpanan pegawai perubatan, 216 calon simpanan pegawai pergigian dan 470 calon simpanan pegawai farmasi.

Katanya, pelantikan tersebut adalah selaras dengan baki kekosongan sedia ada dan kelulusan perjawatan tetap oleh agensi pusat pada tahun 2023.

“Urusan tawaran pelantikan tetap dan penerimaan tawaran oleh calon simpanan sedang dilaksanakan menerusi Sistem Tawaran Pelantikan, Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (MySTP SPA) dalam tempoh 21 hari bermula pada 2 Oktober 2023.

“Bagi memastikan ketelusan dalam pelaksanaan, semua calon diberi ruang untuk memilih sendiri penempatan secara dalam talian menerusi sistem e-placement iaitu sistem e-housemen untuk pegawai perubatan, sistem e-dentist untuk pegawai pergigian dan sistem e-pharmacist untuk pegawai farmasi,” katanya di sini tadi.

Mengulas lanjut, KKM berkata, berdasarkan kepada pengisian semasa, jumlah kekosongan jawatan di Lembah Klang dan wilayah tertentu adalah sangat terhad.

“Sehubungan itu, pegawai termasuk pasangan yang berkhidmat dalam salah satu perkhidmatan boleh merancang penempatan di luar Lembah Klang termasuk memilih penempatan di kawasan luar bandar dan pedalaman Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

“Pemilihan penempatan di luar Lembah Klang juga mempunyai kelebihan daripada segi kos sara hidup, pegawai boleh mendapat insentif seperti Bayaran Insentif Wilayah dan pegawai boleh mendapat pengalaman kerja yang berbeza,” katanya. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI