fbpx

600 kekosongan jawatan kader CGSO diharap dapat diisi tahun depan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
RAHIMI (tengah) menyampaikan sijil kepada Muhammad Rizal pada Majlis Perbarisan Tamat Latihan Kursus Keselamatan Perlindungan Bagi Lantikan Baharu Skim Keselamatan dan Pertahanan Awam,di Institut Latihan Keselamatan Perlindungan Malaysia, Bandar Enstek, Seremban hari ini. - Foto oleh ZAKKINA WATI AHMAD TARMIZI / KOSMO!

SEREMBAN – Sebanyak 600 jawatan kader Pejabat Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan Malaysia (CGSO) diharap dapat diisi selewat-lewatnya tahun depan susulan permintaan tinggi jawatan itu di pelbagai kementerian dan jabatan.

Ketua Pengarah Keselamatan Kerajaan, Rahimi Ismail menjelaskan, selepas pandemik Covid-19 terdapat kekurangan yang amat ketara bagi jawatan kader CGSO berkenaan.

“Ini merupakan cabaran kepada kami untuk dapat mengisi dengan cepat kerana apabila pengambilan dibuat, akan melalui beberapa proses termasuk ujian fizikal, ada ramai yang tidak melepasinya.

“Kami akan bersama dengan pihak Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia (SPA) untuk mempercepatkan pengambilan kerana permintaan daripada jabatan begitu tinggi.

“Ada juga kementerian yang begitu kritikal dan kami menempatkan anggota di jabatan yang kritikal dahulu,” katanya yang turut memberitahu sehingga kini, terdapat lebih 5,000 orang kader CGSO di seluruh negara.

Rahimi berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perbarisan Tamat Latihan Kursus Keselamatan Perlindungan Bagi Lantikan Baharu Skim Keselamatan dan Pertahanan Awam (KP) bagi Penolong Pegawai Keselamatan Gred KP29 dan Pengawal Keselamatan Gred KP11 di Institut Latihan Keselamatan Perlindungan Malaysia, Bandar Enstek di sini hari ini.

Majlis tamat latihan itu melibatkan seramai 210 orang pegawai lantikan baharu Skim Keselamatan dan Pertahanan Awam (KP) yang terdiri daripada sembilan orang pelatih lelaki, dua orang pelatih perempuan bagi jawatan Penolong Pegawai Keselamatan Gred KP29 dan seramai 130 orang pelatih lelaki serta 69 pelatih perempuan bagi jawatan Pembantu Keselamatan Gred KP11.

Pada majlis tersebut juga, anugerah pelatih terbaik keseluruhan diberikan kepada Muhammad Rizal Mat Daud, 25, manakala anugerah pelatih terbaik akademik lelaki menjadi milik Muhamad Nazrul Mahbob,33, dan anugerah pelatih terbaik akademik lelaki dianugerahkan kepada Nur Syahira Othman, 29.

Sementara itu, Muhammad Rizal, berkata, dia sebelum ini pernah berkhidmat sebagai pegawai penjara di Penjara Reman, Pulau Pinang dan memasuki lantikan Penolong Pegawai Keselamatan Gred KP29 kerana mahu menaikkan gred jawatannya sebelum ini.

“Alhamdulillah, selama sebulan di sini saya dapat melalui cabaran dalam latihan kawad dan latihan fizikal keselamatan. Saya anggap ini satu peluang untuk saya menimba pengetahuan dalam bidang keselamatan ini,” katanya yang berasal dari Baling, Kedah. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI