fbpx

Mokhzani sedia pertahan jawatan Presiden MAM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MOKHZANI menggesa mana-mana penganjur untuk merujuk MAM terlebih dahulu sebelum menjalankan aktiviti perlumbaan.

DEBARAN pemilihan barisan kepimpinan baharu menjelang Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Persatuan Sukan Bermotor Malaysia (MAM) esok tertumpu kepada perebutan kerusi No. 1 badan induk tersebut bagi penggal 2023 hingga 2026.

Ketika ini, legenda sukan permotoran dua roda negara, Shahrol Yuzy Ahmad Zaini melakukan kejutan apabila bersedia mencabar kerusi Presiden MAM yang kini disandang oleh Tan Sri Mokhzani Mahathir.

Bagaimanapun, Mokhzani menjelaskan, beliau bersedia mempertahankan jawatan tersebut kerana sudah memberikan segala kudratnya untuk mempertabatkan MAM pada tahap tertinggi biarpun melalui fasa sukar terutama sewaktu sukan bermotor terkapai-kapai tanpa wakil FIA dan FIM yang sah dari segi kelayakan di bawah Akta Sukan Negara sebelum ini.

“Seperti semua ahli bersekutu MAM tahu, saya berkhidmat sebagai Presiden semasa situasi yang unik berlaku di Malaysia, di mana sukan permotoran terkapai-kapai tanpa wakil Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) dan juga Persekutuan Motosikal Antarabangsa (FIM) yang sah dari segi kelayakan di bawah Akta Sukan Negara.

“Isu itu saya sudah selesaikan walaupun ada lagi yang pihak FIA mahu MAM tangani. MAM juga beroperasi semasa zaman Covid-19 dan penukaran dalam lanskap politik di mana saya bekerja dengan empat Menteri Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dalam masa 5 tahun. Alhamdulillah, program MAM masih berjalan. 

“Penubuhan MAM ialah hasil usaha empat orang yang gila ‘motorsports’, termasuk saya selepas mendengar rintihan industri sukan bermotor 15 tahun dahulu. Hari ini, mungkin situasi sudah berubah dan ada yang yakin semuanya berjalan baik dan biasa, tak kira kalau barisan yang sedia ada ini ditukar. 

“Saya seringkali memohon kepada sesiapa yang minat untuk berkhidmat dalam MAM sila tampil ke hadapan dan berbincang secara baik. Pertandingan, walaupun diizinkan, secara lazimnya menyebabkan perpecahan dan kesinambungan terputus. Tetapi ahli-ahli sudah pun bersuara dan mahukan pertandingan. 

“Saya berasa amat bersyukur kerana telah dapat melibatkan diri dalam sukan yang saya cinta ini, samada sebagai seorang pemandu kereta lumba, pengerusi Litar Antarabangsa Sepang (SIC) , wakil Malaysia di mesyuarat FIA dan FIM peringkat antarabangsa, dan akhirnya sebagai Presiden MAM. 

“Kalau rezeki tidak ada dan saya kalah nanti, saya berterima kasih kepada semua pihak yang telah membuat semua yang saya impikan menjadi realiti dengan memori yang sangat berharga dan manis,” katanya secara eksklusif kepada Kosmo! semalam.

Dalam pada itu, mengenai beberapa isu ‘hangat’ dimainkan menjelang pemilihan AGM antaranya soal isu ketelusan, kesinambungan, merakyatkan sukan bermotor serta isu kos, pihaknya telah menyelesaikannya dan mengakui masalah tersebut boleh ditangani.

“Saya baca banyak komentar kebelakangan ini, lagi-lagi apa yang keluar dalam musim pemilihan MAM, tentang rintihan ahli MAM. Isu ketelusan, kesinambungan, merakyatkan sukan bermotor, isu kos dan sebagainya. 

“Sebenarnya majoriti daripada isu-isu ini sudah ditangani atau boleh ditangani. Mungkin kerana MAM dan saya tak cekap menyebarkan apa yang dibuat, maka ahli fikir kita tidak buat apa-apa. Seperti biasa dalam musim pemilihan, usaha yang baik diketepikan dan yang kurang sempurna ditengahkan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI