fbpx
Gambar hiasan

Jerebu menyerang lagi, elok pakai pelitup muka

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MUTAKHIR ini ramai mengalami demam, selesema, batuk serta sakit tekak berikutan cuaca panas dan berjerebu terutama kanak-kanak dan warga emas.

Di rumah penulis sendiri, seorang demi seorang berulang-alik ke klinik dek penangan jerebu.

Paling risau memikirkan anak di sekolah berasrama yang ada asma sejak kecil, sudah dititipkan pesanan agar mengambil langkah berjaga-jaga termasuk pakai pelitup muka sekiranya jerebu kian memburuk.

Berdasarkan laman sesawang Sistem Pegurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS) setakat pukul 7 pagi semalam, terdapat 16 lokasi di Semenanjung merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat melebihi 100 yang menyaksikan Cheras, Kuala Lumpur mencatat bacaan tertinggi iaitu 165.

Antara tempat lain ialah Shah Alam (159), Petaling Jaya (158), Banting (158), Putrajaya (157), Port Dickson (156), Klang dan Johan Setia (154), Batu Muda, Kuala Lumpur (154), Alor Gajah (135), Taiping (123) dan Larkin (109).

Keadaan ini tidak mustahil menyaksikan peningkatan dan ‘merebak’ ke beberapa kawasan lagi. Semalam, media melaporkan beberapa negara selatan ASEAN termasuk Malaysia dijangka menghadapi jerebu berikutan sejumlah 353 titik panas dikesan di Kalimantan dan 113 titik panas lagi di Sumatera, Indonesia.

Malah, Ketua Pengarah Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Muhammad Helmi Abdullah memaklumkan trajektori asap jerebu dari Kalimantan akan memberikan kesan kepada beberapa negeri di timur Malaysia.

Justeru itu, diharap orang ramai terutama golongan berisiko tinggi termasuk kanak-kanak, warga emas, wanita mengandung serta mereka yang sensitif kepada habuk peka dengan tahap kualiti udara di kawasan masing-masing.

Jangan ambil mudah, patuhilah saranan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan dengan menangguhkan penganjuran aktiviti di luar bangunan apabila bacaan IPU melebihi 100 kerana aktiviti fizikal akan menyebabkan peningkatan kadar pernafasan seterusnya boleh meningkatkan risiko penyakit akibat jerebu.

Dalam erti kata lain, banyakkan berada dalam bangunan dan sekiranya perlu berada di luar, disarankan menggunakan pelitup muka yang bersesuaian bagi mengurangkan risiko.

Bagi yang mempunyai anak kecil dan ahli keluarga yang ada penyakit respiratori serta jantung, sentiasa awasi mereka kerana golongan ini lebih mudah terjejas apabila terdedah kepada jerebu.

Selain itu, dalam keadaan sekarang sangat penting minum banyak air kosong meski tidak dahaga, sekurang-kurangnya lapan gelas sehari.

Lebih banyak lebih bagus bagi mengekalkan tahap hidrasi badan. Sekiranya mengalami demam, batuk, selesema, asma, sakit mata dan sesak nafas, dapatkan rawatan secepat mungkin di klinik atau hospital berhampiran. Jagalah kesihatan kerana nilainya cukup tinggi buat kita semua.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN