fbpx

Perniagaan mikro, kecil dikecualikan yuran transaksi DuitNow QR – BNM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PETALING JAYA – Bank-bank utama dan penyedia perkhidmatan kewangan bukan bank akan mengecualikan yuran transaksi untuk perniagaan mikro dan kecil yang menerima pembayaran DuitNow QR.

Bank Negara Malaysia (BNM) dalam satu kenyataan hari ini berkata, perniagaan mikro dan kecil akan terus menikmati transaksi kos sifar , manakala bagi pelanggan individu, penggunaan DuitNow QR untuk membuat pembayaran tidak akan dikenakan caj tambahan.

Jelas kenyataan itu lagi, DuitNow QR kekal sebagai kaedah pembayaran yang berpatutan serta kos efektif.

“Bagi perniagaan, sebarang yuran transaksi yang dikenakan ke atas bayaran QR kekal serendah, atau lebih rendah daripada, yuran yang dikenakan ke atas pembayaran menggunakan kad debit.

“Perniagaan menggunakan DuitNow QR sebagai kaedah pembayaran juga tidak perlu menanggung kos berulang untuk penyewaan terminal tempat jualan (POS) bagi saluran pembayaran berasaskan kad atau kos overhed dan tambahan pentadbiran untuk pengendalian pembayaran tunai,” kata kenyataan tersebut hari ini.

Dalam pada itu, BNM menjelaskan industri akan mengambil langkah dalam meminimumkan potensi kesan yuran transaksi ke atas perniagaan kecil.

Bank-bank utama serta penyedia perkhidmatan kewangan bukan bank terpilih, yang menguruskan 75 peratus perniagaan yang kini menerima pembayaran DuitNow QR, telah mengumumkan bahawa mereka akan terus mengetepikan yuran transaksi untuk perniagaan mikro dan kecil yang menerima pembayaran DuitNow QR.

Di samping itu, pengendali DuitNow QR, Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet), akan memperuntukkan sumber untuk membantu membiayai kos yang ditanggung oleh pemeroleh yang terus menawarkan pengecualian penuh kepada perniagaan mikro dan kecil yang menerima pembayaran DuitNow QR.

“Bersama-sama, langkah ini akan membolehkan perniagaan mikro dan kecil terus menikmati perkhidmatan pembayaran DuitNow QR pada kos sifar, sambil memastikan perkhidmatan pembayaran QR kekal cekap, boleh dipercayai serta selamat kepada semua pengguna.

“BNM kekal komited sepenuhnya untuk menyokong penggunaan meluas digital pembayaran di Malaysia melalui ekosistem pembayaran yang bertenaga, selamat dan inklusif yang juga mampan dalam jangka panjang,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI