fbpx

Perunding perniagaan mengaku tidak salah tipu dokumen dana MITRA

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anbalahgan (kiri) bersama peguamnya ketika hadir di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini. Foto oleh M.Firdaus M.Johari.

KUALA LUMPUR – Seorang perunding perniagaan yang muflis mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 15 pertuduhan menipu dokumen bagi menuntut dana Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) berjumlah RM331,047.40.

Tertuduh, P. Anbalahgan, 61, membuat pengakuan itu selepas kesemua pertuduhan tersebut dibacakan di hadapan Hakim Suzana Hussin.

Lelaki itu didakwa menipu Penolong Pengarah Seksyen Pendidikan Latihan MITRA, R. Kavithah antaranya penyata nama sebuah bengkel motor, resit rasmi atas nama premis itu dan invois yang dikemukakan di dalam laporan berkala dan laporan akhir Prestasi Pelaksanaan Program Pembangunan Sosioekonomi Masyarakat India Malaysia, Kementerian Perpaduan Negara pada 14 April 2020 adalah benar dan tulen.

Perbuatan itu mendorong Kavithah menyerahkan wang RM331,046.40 yang dimasukkan ke dalam akaun bengkel tersebut yang mana wang tidak akan diserahkan jika tidak diperdaya oleh tertuduh.

Kesemua kesalahan itu dilakukan di MITRA, Jabatan Perdana Menteri, Putrajaya pada 14 April 2020 hingga 3 Disember 2020.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak lebih 10 tahun dan sebatan serta denda.

Pada prosiding sama, Anbalahgan turut mengaku tidak bersalah atas 15 pertuduhan pilihan menggunakan antaranya penyata nama sebuah bengkel motor, resit rasmi atas nama bengkel itu dan invois palsu yang dikemukakan dalam laporan berkala dan akhir Prestasi Pelaksanaan Program Pembangunan Sosioekonomi Masyarakat India Malaysia.

Bagi 15 pertuduhan pilihan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Timbalan Pendakwa Raya Natrah Fareha Rahmat mencadangkan jaminan RM30,000 bagi kesemua pertuduhan berserta syarat tambahan perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah, melapor diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan tidak mengganggu saksi pendakwaan sehingga kes selesai.

Peguam M. Yoges bagaimanapun memohon jumlah jaminan rendah kerana anak guamnya tidak mempunyai pendapatan tetap akibat muflis selain menghidap kencing manis, darah tinggi dan gout.

“Sepanjang siasatan anak guam saya memberikan kerjasama yang baik dan hadir sendiri ke mahkamah hari ini,” katanya.

Selepas mendengar permohonan kedua-dua belah pihak, hakim Suzana membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan seperti yang dicadangkan pihak pendakwaan.

Mahkamah membenarkan tertuduh membayar wang jaminan secara ansuran iaitu RM5,000 hari ini, RM5,000 (4 Oktober) dan RM10,000 (11 Oktober). Sebutan semula kes ditetapkan pada 3 November ini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI