fbpx

Bekalan elektrik empat premis jalan aktiviti judi dalam talian dipotong

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
WAN Zahari (dua dari kanan) melihat pemotongan bekalan elektrik yang dilakukan pekerja TNB di sebuah premis perniagaan di Cenderawasih di Kuantan kerana manjalankan aktiviti perjudian haram dalam talian.

KUANTAN – Polis melakukan tindakan tegas dengan memotong bekalan elektrik di empat premis perniagaan yang dikesan menjalankan aktiviti perjudian secara dalam talian di daerah ini.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, tindakan pemotongan elektrik dengan kerjasama Tenaga Nasional Berhad (TNB) itu dilakukan di empat premis perniagaan di Cenderawasih, Taman Tas, Taman Pandan Permai dan Indera Mahkota.

“Tindakan itu dilakukan hasil daripada risikan dijalankan yang mana pihak polis mendapati terdapat beberapa premis dikenalpasti menjalankan kegiatan perjudian dalam talian secara haram.

“Kegiatan terbabit berselindung di sebalik perniagaan runcit, kad tambah nilai dan kedai menjual telefon bagi mengaburi pihak berkuasa,”katanya dalam sidang akhbar di hadapan sebuah premis perniagaan di Cenderawasih, di sini, hari ini.

Menurutnya, hasil risikan dijalankan mendapati premis perniagaan terbabit telah beroperasi sejak awal tahun ini dan dikesan menjalankan kegiatan terbabit pada lewat malam.

Dalam pada itu Wan Zahari berkata, setakat Januari hingga September tahun ini, sebanyak 125 premis dikesan menjalankan aktiviti perjudian dalam talian secara haram dengan sebanyak 10 pemilik premis telah dituduh ke mahkamah.

“Dalam masa sama sebanyak 11 lesen perniagaan telah dibatalkan pihak Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) kerana kesalahan menyalahguna lesen perniagaan manakala tujuh lesen perniagaan dibatalkan oleh Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

“Polis mengingatkan pemilik premis perniagaan agar tidak membenarkan individu atau syarikat menyewa premis mereka untuk aktiviti perjudian dan masyarakat dinasihati tidak terjebak dengan aktiviti perjudian yang boleh mengundang musibah,”ujarnya.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI