fbpx

Sarawak masih ada rizab gas yang besar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Abang Johari melihat pelan pembangunan projek Loji Gas Rosmari-Marjoram di Tanjung Kudurong, Bintulu sempena majlis pecah tanah, hari ini.

BINTULU – Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg percaya bahawa dasar laut pelantar benua Sarawak masih mempunyai rizab gas yang besar walaupun ramalan awal pada awal 1990-an bahawa gas Sarawak hanya boleh bertahan selama 20 tahun lagi.

Katanya ia apabila lebih daripada 30 tahun berlalu, semakin banyak medan minyak dan gas ditemui di luar pesisir Sarawak, dengan yang terbaru ialah enam medan di lima blok – SK306, SK411, SK313, SK301B dan SK315.

Penemuan itu merangkumi masing-masing di telaga Gedombak di Blok SK306 dan telaga Mirdanga di Blok SK411 di wilayah Balingian; telaga Sinsing di Blok SK313, telaga Machinchang dan Pangkin di Blok SK301B serta telaga Kalung Emas di Blok SK315 di wilayah Luconia Barat.

“Saya gembira kerana selepas lebih satu abad, industri minyak dan gas Sarawak terus berkembang maju dan kami kekal menarik pelabur seperti Shell,” katanya sempena Majlis Pecah Tanah Loji Gas Rosmari-Marjoram di Tanjung Kudurong, di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Premier merangkap Menteri Kedua Pembangunan Bandar dan Sumber Asli Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Pengerusi Negara Shell Malaysia Siti Sulaiman dan Naib Presiden Petronas Hasliza Othman.

Abang Johari menambah minyak dan gas merupakan salah satu tonggak penting wawasan Sarawak untuk mencapai status negeri maju menjelang 2030.

Justeru, katanya projek Rosmari-Marjoram oleh Sarawak Shell Bhd yang juga anak syarikat Shell Plc, dengan kerjasama Petronas Carigali Sdn Bhd iaitu pelaburan asas berbilion dolar dalam Taman Perindustrian Petrokimia (PIP) SEDC di Tanjung Kidurong adalah sejajar dengan cita-cita Sarawak itu.

Beliau turut menegaskan kestabilan politik dan dasar kukuh Sarawak menjadi faktor tambahan bagi pelabur seperti Shell untuk datang mengembangkan perniagaan ke Sarawak.

“Kalau Shell buat duit, Sarawak pun akan buat duit sebab kita kenakan Cukai Jualan Negeri (SST).

“Untuk rekod sejak 2019, pendapatan Sarawak melalui SST berjumlah RM13 bilion dan bukannya 5 peratus royalti yang biasa kami terima untuk minyak dan gas kami,” katanya.

Medan gas Rosmari-Marjoram terletak 220 kilometer (km) di luar pantai Bintulu, yang merupakan salah satu projek strategik untuk memastikan bekalan gas yang berterusan ke Kompleks LNG Petronas.

Projek ini terdiri daripada kemudahan dasar laut dalam, platform luar pesisir yang dikendalikan dari jauh dan loji gas darat termasuk salah satu saluran paip gas basah masam terpanjang di dunia iaitu lebih daripada 200 km.

Projek Rosmari-Marjoram direka untuk menghasilkan 800 juta kaki padu gas standard sehari (MMscf/d), dengan pengeluaran gas dijangka bermula pada 2026.

Ia juga akan dikuasakan terutamanya oleh tenaga boleh diperbaharui, dengan platform luar pesisir akan menggunakan kuasa daripada 240 panel solar manakala loji darat akan memanfaatkan kuasa hidro yang disediakan melalui sistem grid kuasa Sarawak, selain penjana kuasa diesel dan bateri juga akan digunakan sebagai sandaran.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI