fbpx

Dewan Negara: Kerajaan disaran tubuh agensi kawal selia nadir bumi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Kerajaan disaran menubuhkan sebuah agensi, badan atau syarikat berkaitan kerajaan (GLC) bagi mengawal selia semua urusan berkaitan nadir bumi di negara ini.

Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Mohd. Hisamudin Yahaya berkata, langkah itu boleh menyelaraskan penjualan keluar nadir bumi walaupun sumbernya terletak di kawasan negeri-negeri.

“Bahan ini digunakan dalam pelbagai aplikasi seperti elektronik, magnet, pemangkin, bateri, dan lain-lain. Sumber baru ini haruslah dimanfaatkan sepenuhnya oleh negara kita.

“Menurut kajian Jabatan Mineral dan Geosains (JMG), unsur nadir bumi kebanyakan terletak di Johor, Kedah, Kelantan, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Sabah, Sarawak, Selangor dan Terengganu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada perbahasan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (KSP RMK-12) di Dewan Negara hari ini.

Hisamudin berkata, cadangan penubuhan agensi itu juga dapat mengelakkan pergaduhan antara negeri-negeri dengan Kerajaan Pusat.

Menurut beliau, langkah itu seterusnya mengelak eksploitasi harga, eksport haram dan kehilangan sumber nadir bumi sekaligus menjamin pulangan segera dan keuntungan maksimum kepada negara.

Dalam pada itu, beliau mencadangkan tanah milik kementerian dalam Kawasan Kuala Lumpur diserahkan kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pada harga yang nominal.

“Ia untuk tujuan pembangunan rumah-rumah mampu milik ataupun rumah madani untuk golongan B40.

“Masalah yang wujud di Kuala Lumpur sekarang ialah DBKL tidak mempunyai tanah yang mencukupi untuk membangunkan rumah ini pada masa akan datang,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, & TikTok

TERKINI