fbpx

Orang Asli dakwa tanah adat diteroka tanam durian, kelapa sawit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
UDA (kiri) menunjukkan ladang durian yang dibuka berhampiran Kampung Kelaik, Pos Blau, Gua Musang semalam.

GUA MUSANG – Masyarakat Orang Asli Kampung Kelaik, Pos Blau di sini, menggesa kerajaan negeri supaya segera mewartakan tanah adat komuniti itu selepas ada pihak tertentu didakwa melakukan penerokaan tanah bagi tujuan perladangan durian, kelapa sawit dan aktiviti perlombongan.

Timbalan Pengerusi Jaringan Kampung Orang Asli Kelantan (JKOAK), Nasir Dollah berkata, sudah tiba masanya, kerajaan membuat perancangan ke arah pewartaan tanah Orang Asli kerana pengiktirafan tanah akan memberi jaminan ia tidak di­ceroboh oleh pihak luar.

Menurutnya, mengikut Akta Orang Asli 1954 atau Akta 134 (Pindaan 1974) hanya membenarkan pihak kerajaan merizabkan sesebuah kawasan rayau untuk Orang Asli mencari makanan dan penempatan.

“Akta itu dilihat tidak memperuntukkan pemilikan tanah secara persendirian, malah menafikan hak Orang Asli untuk memiliki tanah secara peribadi.

“Apabila tiada hitam putih, sudah tentu kawasan yang kita anggap tanah Orang Asli itu akan diambil pada bila-bila masa. Kalau kita lihat di negeri lain, sudah ada pewartaan,” katanya di sini semalam.

Seorang penduduk, Uda Busu, 42, pula mendakwa, situasi itu menyebabkan mereka berdepan kekurangan sumber makanan dan hasil hutan selepas kawasan penempatan sudah dikelilingi ladang durian, kelapa sawit dan kebun sayur.

Katanya, penduduk di kawasan itu kini tinggal hampir 100 orang selepas ada dalam kala­ngan mereka membuat keputusan untuk berpindah akibat pe­nempatan semakin mengecil dan terhimpit.

“Kalau tanah tempat tinggal kami diwartakan, tidak akan timbul masalah, tetapi sekarang kami dilayan seperti orang asing.

“Kami pun rakyat Malaysia, pihak berwajib sepatutnya ­datang berjumpa untuk berbincang sebelum memberi kebenaran kepada mana-mana pihak untuk mengusahakannya,” ujar Uda.

Rakannya, Billy Ibrahim, 39, pula berkata, dia risau memikirkan nasib penduduk di penempatan terbabit dan memohon agar pewartaan tanah adat mereka diselesaikan segera.

Katanya, penduduk tidak menerima sebarang notis awal berkenaan pembukaan ta­nah di kawasan mereka dan hanya mengetahui projek tersebut telah dilaksanakan di penempatan itu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI