fbpx

Apih Kulim sebelum ditembak baru keluar jel April lalu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anggota forensik menjalankan siasatan terhadap trak pikap dinaiki mangsa di Jalan Hutan Kuin, Machang kelmarin. -Foto KAMARUL BISMI KAMARUZZAMAN

TUMPAT – Mangsa yang terlibat dalam kes tembak di Jalan Hutan Kuin di Machang, dekat sini, kelmarin baru keluar dari penjara pada April lalu.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, lelaki berusia 38 tahun itu juga berada dalam senarai dikehendaki polis meskipun baru keluar penjara.

Menurutnya, selain itu, mangsa juga mempunyai 12 rekod kes jenayah, dadah, ugutan dan senjata api.

“Mangsa boleh dikatakan seorang yang agak ganas apabila mempunyai rekod lampau dan baru sahaja keluar dari penjara April lalu.

“Setakat ini, polis masih menjalankan siasatan lanjut untuk mengenal pasti motif kejadian tersebut,” katanya kepada pemberita selepas melakukan tinjauan di sempadan Malaysia-Thailand bersama Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS), Pengkalan Kubor di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Muhamad Zaki memberitahu, polis masih mengesan suspek yang terlibat dalam kes tersebut menerusi nombor pendaftaran kenderaan yang dinaiki mereka.

Menurutnya, siasatan mendapati, lima lelaki terlibat dan berada di dalam kereta semasa kejadian tersebut.

“Kawasan tersebut tiada rakaman televisyen litar tertutup (CCTV). Jadi, agak sukar untuk polis mengenal pasti nombor pendaftaran kereta yang dinaiki suspek.

“Bagaimanapun, orang ramai boleh menyalurkan maklumat sekiranya tahu mengenai kereta yang dinaiki suspek,” katanya.

Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI