fbpx

‘Saya rayu orang ramai bantu ibu saya’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Haspah (kanan) menunjukkan susu diberikan kepada ibunya, Salmah yang terlantar akibat kanser ketika ditemui di rumah mereka di Taman Kerian, Bagan Serai baru-baru ini. – WAT KAMAL ABAS

BAGAN SERAI – Seorang wa­nita warga emas yang kini terlantar selepas menghidap kanser pa­yudara dan darah tinggi memerlukan bantuan daripada orang ramai untuk meneruskan kehidupannya.

Anaknya, Haspah Ali, 42, berkata, ibunya Salmah Sued yang berusia 67 tahun memerlukan susu khas dan lampin pakai buang yang digunakan setiap hari.

Menurut wanita itu, ibunya dikesan menghidap kanser kira-kira tiga bulan lalu selepas menjalani pembedahan membuang sebelah payudaranya sebelum meneruskan rawatan susulan.

“Ibu saya menerima wang pencen Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) arwah bapa sebanyak RM500 sebulan.

“Duit tersebut digunakan untuk kami menampung kos berulang-alik mendapatkan rawatan di Hospital Kepala Batas, Pulau Pinang.

“Saya pula mengambil upah mengasuh anak-anak jiran. Upah yang diperoleh iaitu sebanyak RM1,000 sebulan digunakan untuk membayar sewa rumah, bil utiliti dan perbelanjaan ha­rian kami berdua,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Kerian, di sini baru-baru ini.

Haspah memberitahu, dia tidak pernah memohon bantuan daripada mana-mana organisasi termasuk Baitulmal atau Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi pihak ibunya.

“Ada pihak mencadangkan supaya saya memohon bantuan Baitulmal, namun saya tidak berkesempatan kerana tiada orang yang akan menjaga sementara anak-anak asuhan termasuk dua anak kembar yang masih kecil di rumah.

“Jadi saya merayu kepada orang ramai termasuk Baitulmal atau JKM agar membantu ibu saya terutama kos lampin pakai buang dan susu khas.

“Ini kerana pendapatan yang diperoleh sekarang tidak mencukupi untuk menampung ke­perluan kami,” katanya.

Tambahnya, Ahli Parlimen Bagan Serai, Datuk Idris Ahmad juga sudah berkunjung ke rumahnya untuk melawat dan melihat keadaan ibunya.

Orang ramai yang ingin me­nyumbang boleh berbuat demikian melalui Maybank Haspah bernombor 1582 4835 1014.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI