fbpx

Stor belakang bengkel jadi tempat bungkus semula minyak masak seludup

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tindakan penyeludup yang menjadikan sebuah stor di belakang bengkel di Kampung Cherang Tuli, Padang Pak Amat dekat Pasir Puteh sebagai lokasi untuk membungkus semula minyak peket ke dalam tong jerikin sejak tiga bulan lalu terbongkar selepas pihak berkuasa menyerbu kawasan tersebut, semalam.

KOTA BHARU – Tindakan penyeludup yang menjadikan sebuah stor di belakang bengkel di Kampung Cherang Tuli, Padang Pak Amat dekat Pasir Puteh sebagai lokasi untuk membungkus semula minyak peket ke dalam tong jerikin sejak tiga bulan lalu terbongkar selepas pihak berkuasa menyerbu kawasan tersebut, semalam.

Serbuan itu dijalankan selepas anggota penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan menahan sebuah trak pikap membawa 1,349 peket minyak masak subsidi yang terbalik di Kampung Gaung, Pasir Mas kelmarin.

Pengarah KPDN Kelantan, Azman Ismail berkata, hasil soal siasat dan maklumat daripada pemandu trak pikap jenis Mitsubishi Pajero berusia 29 tahun itu, pihaknya terus melakukan serbuan di stor terbabit.

Menurutnya, semasa serbuan dijalankan, seorang wanita warga emas berusia 65 tahun sedang membuat pengisian semula minyak masak peket ke dalam tong jerikin terpakai.

“Pemeriksaan mendapati, sebanyak 12 tong jerikin terpakai dengan pelekat bahan kimia seberat 64 kilogram (kg) bernilai RM160 ditemui di dalam stor terbabit.

“Selain itu, sebanyak 2.2 tan minyak masak peket bernilai RM5,610 yang berada di dalam kotak turut dirampas,” katanya pada sidang akhbar di Stor Penyimpanan KPDN, Kawasan Perindustrian Padang Tembak, Pengkalan Chepa di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Azman memberitahu, siasatan mendapati, 12 tong yang sudah diisi minyak masak peket itu akan dijual kepada penyeludup sebelum bahan mentah tersebut diseludup ke Thailand.

Menurutnya, stor berkenaan juga didapati baru beroperasi selama tiga bulan.

“Bekalan minyak masak peket itu dipercayai diambil daripada pembekal di negeri berhampiran Kelantan sebelum penyeludup membuat pengisian semula minyak itu ke dalam tong untuk dijual.

“Kes ini merupakan rampasan pertama melibatkan pengisian semula minyak masak peket ke dalam tong yang bertujuan untuk mengelirukan pihak berkuasa,” ujarnya.

Azman berkata, kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram 2001.

Kosmo! Online semalam melaporkan, cubaan seorang penyeludup untuk melarikan diri semasa membawa sebanyak 1,349 peket minyak masak bersubsidi di dalam sebuah trak pikap gagal apabila kenderaan dipandunya terbalik selepas dikejar anggota penguat kuasa sejauh 50 kilometer di Kampung Gaung, Pasir Mas, kelmarin.

Trak pikap jenis Mitsubishi Pajero yang dipandu seorang penyeludup berusia 29 tahun itu terbalik semasa melalui kawasan selekoh berhampiran persimpangan lampu isyarat di kampung tersebut. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI