IBARAT kelahiran semula, Datuk Aishah memandang platform All Stars Gegar Vaganza bukan hanya sebagai pentas pertandingan tetapi juga ruang untuk menyerlahkan versi baharu dirinya yang lebih berani dalam berfesyen.
Kembalinya bekas-bekas juara dan finalis ke pentas Gegar Vaganza (GV) sememangnya mencetuskan satu keterujaan buat semua orang.
Jika khalayak mahu melihat nyanyian, persembahan berbeza, setiap peserta pula pastinya berusaha mencari faktor luar biasa untuk penilaian penonton khususnya juri.
Bukan hanya kualiti persembahan yang bagus, penampilan juga harus setara. Itu yang bermain dalam fikiran dan akan dilakukan Datuk Aishah menjelang bermulanya konsert minggu pertama All Stars pada 24 September.
Dalam kepala Aishah, dia mahu tampil dengan busana lebih baik berbanding apa yang digayakan ketika bertanding pada musim keempat, enam tahun lalu yang disifatkan tidak mencapai tahap terbaik.
Aishah berjanji mahu muncul di pentas GV musim ke-10 dengan membawa kelainan dari segi fesyen dan kreativiti.
Bukan kerana ingin menunjuk tentang perubahan bentuk fizikal tetapi cuma berasa lebih yakin dan selesa pada pertandingan kali ini, terutama apabila berat badannya kini menurun sehingga 52 kilogram selepas melakukan pembedahan bariatrik.

Tajaan
“Persiapan saya untuk GV kali ini agak ekstra berbanding musim sebelum ini sebab mahu tunjukkan kepada peminat bahawa akan tampil dengan fesyen lebih menarik di atas pentas.
“Jika orang tanya mengapa baru sekarang, jawab saya, dahulu tiada yang ingin menaja sebab kata mereka baju saya perlukan banyak kain kerana bersaiz besar,” katanya.
Keadaan jadi berbeza sejak saiz badan mengecil, apabila berpusu-pusu pereka fesyen tampil menawarkan diri menjadi penaja busana setiap persembahannya kelak.
“Sekarang lain pula, makin berebut-rebut orang nak taja baju saya.
“Semasa GV4, walaupun saya menang, saya tidak berasakan yang saya berada dalam versi terbaik.
“Jadi, kali ini saya rasa lebih yakin dengan diri sendiri. Mungkin baju yang dipakai nanti juga lebih berfesyen macam ada ropol dan berkilau,” ujarnya sambil tertawa kecil.

Masih dalam mood teruja, pemilik nama penuh Wan Aishah Wan Ariffin itu bakal mempunyai pasukan atau ‘glam team’ yang akan mengatur dan menguruskan setiap persalinan serta tatarias koinsert mingguan.
“Akhirnya saya akan ada ‘glam team’ sendiri. Sebenarnya kasihan pada diri sendiri ketika GV4 sebab nampak susah sangat nak bersiap kerana tiada pembantu.
“Sekarang sudah boleh datang ke konsert lenggang kangkung dan tunggu orang siapkan sahaja seperti dipakaikan tudung serta aksesori.
“Maknanya, saya sudah boleh beri ekstra fokus terhadap nyanyian dan persembahan tanpa perlu memikirkan baju yang hendak dipakai setiap minggu,” ujar penyanyi berusia 58 tahun itu.
Berkongsi kesihatan terkini, pelantun lagu Janji Manismu itu baik-baik sahaja seiring diet dan rutin kehidupan lebih sihat
“Alhamdulillah dengan pengambilan makanan secara sederhana dan melakukan senaman, sekarang saiz badan kekal saiz S.
“Paling seronok dapat memakai semula baju-baju ketika zaman badan kecil dahulu, badan pun rasa lebih ringan untuk lakukan banyak aktiviti,” kongsinya.
Katanya, pembedahan usus bukan sahaja membuatkan berat badan susut tetapi boleh membantunya mengubah gaya hidup menjadi lebih sihat
“Saya kini makan dalam kuantiti yang lebih sikit berbanding sebelum ini.
“Gaya hidup dan rutin pemakanan sudah semakin ke arah sihat. Alhamdulillah kehidupan saya semakin baik,” jelasnya.

Strategi, persaingan
Ditanya sama ada gemuruh kembali semula untuk bertanding di atas satu pentas dengan bekas-bekas juara dan finalis terbaik GV, Aishah tidak menafikan perkara tersebut turut bergetar dalam dadanya.
Enggan meletakkan harapan apatah lagi menabur janji kepada peminat, Aishah hanya akan berusaha untuk memberi persembahan menghiburkan.
“Persaingan GV kali ini teramat sengit. Semua peserta boleh menyanyi dengan bagus. Semua ada kekuatan tersendiri.
“Hendak kata sudah siapkan strategi sangat pun tidak juga. Saya hanya mahu menyanyi dan perlu mempersiapkan diri serta mental, umur pun sudah 58 tahun.
“Jadi, untuk memastikan saya dapat menyanyi dengan baik, kesihatan diri perlu dijaga dan sentiasa dalam keadaan yang baik.
“Nyanyian saya pula masih kekal sebagai Aishah yang anda kenali sejak empat dekad lalu,” jelasnya.
Tambahnya, kondisi kesihatan yang sihat juga mampu membantu diri memberikan persembahan terbaik di hadapan barisan juri iaitu Datuk Ramli MS, Hetty Koes Endang dan Datuk Syafinaz Selamat.
“Ini bukan pertandingan menyanyi semata-mata, ini pertandingan persembahan yang terbaik.
“Kami akan dinilai daripada semua aspek, bukannya bergantung kepada vokal siapa lebih mantap sahaja.
“Sekarang kondisi kesihatan saya dari segi kesihatan dan kecerdasan berada di tahap terbaik berbanding dahulu dan insya-Allah semuanya akan dipermudahkan. Doakan ya semua,” katanya.














