fbpx

Langgan TH Khairat serendah RM28 untuk perlindungan takaful sebanyak RM12,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Na'im (tiga kanan) bersama Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Syed Hamadah Syed Othman ketika Majlis Pelancaran TH Khairat di Dewan Besar Menara Tabung Haji (TH) di Kuala Lumpur, hari ini. Foto oleh FAUZI BAHARUDIN / KOSMO!

KUALA LUMPUR – Lembaga Tabung Haji (TH) melancarkan TH Khairat iaitu perlindungan takaful sebanyak RM12,000 kepada penerima manfaat menerusi langganan tahunan serendah RM28 sahaja oleh pendeposit TH.

Dengan perlindungan takaful tersebut, ia diberikan kepada penerima manfaat sekiranya berlaku kematian atau hilang upaya menyeluruh dan kekal ke atas pendeposit TH.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd. Na’im Mokhtar berkata, TH Khairat bukan sahaja menawarkan manfaat perlindungan tinggi sebanyak RM12,000, malah memberi peluang kepada golongan rendah dan sederhana untuk turut menikmati perlindungan ini dengan langganan yang sangat rendah.

“Saya dimaklumkan TH Khairat menerima respons positif dengan lebih 9,000 pendeposit telah mendaftar TH Khairat. Saya berharap kalau boleh keseluruhan sembilan juta pendeposit TH turut mendaftar bagi TH Khairat.

“Apa yang lebih penting, secara tidak langsung kita dapat menyumbang dan membantu peserta-peserta lain sekiranya berlaku apa-apa yang tidak diingini kepada mereka,” katanya berucap pada Majlis Pelancaran TH Khairat di sini, hari ini.

Melalui TH Khairat, TH dengan kerjasama dua syarikat pengendali takaful iaitu Takaful Malaysia dan HLM Takaful akan menawarkan manfaat khas kepada pendeposit TH sekiranya berlaku kematian atau hilang upaya kekal dan menyeluruh.

TH Khairat terbuka kepada semua pendeposit TH berumur seawal 30 hari sehingga 65 tahun dan yang ditaja jamin oleh Syarikat Takaful Malaysia Keluarga Berhad (Takaful Malaysia) dan Hong Leong MSIG Takaful Berhad (HLMT).

Bayaran RM28 adalah secara potongan terus daripada akaun TH secara tahunan dan pendaftaran boleh dilakukan melalui portal atau aplikasi THiJARI. Pendeposit juga boleh mendaftarkan TH Khairat untuk akaun anak di bawah jagaan yang berumur di bawah 18 tahun di THiJARI. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI