fbpx

Sultan Kedah titah pegawai Palapes tingkatkan disiplin, ilmu pengetahuan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sebahagian mahasiswa pada Istiadat Perbarisan Pentauliahan Diraja dan Pengurniaan Watikah Tauliah Pegawai Kadet Palapes Universiti Awam Ke-41 di UUM, di sini hari ini.

SINTOK – Pegawai Kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) yang telah menerima tauliah diingatkan supaya memberi penekanan terhadap dua aspek penting untuk dijadikan pedoman hidup sebagai pewaris kepada tampuk pemerintahan dan kepimpinan negara.

Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah bertitah, dua aspek penting itu adalah disiplin dan ilmu pengetahuan yang perlu sentiasa digilap, bagi berdepan cabaran pada masa depan.

Baginda yang juga Kolonel Yang Di-Pertua Rejimen Askar Melayu Diraja dan Kor Perkhidmatan DiRaja bertitah, elemen pertama yakni disiplin, memiliki pengertian tersendiri yang akan melahirkan keunggulan peribadi serta memberi impak luas kepada organisasi hingga mampu membawa kejayaan diharapkan.

“Penerapan tatasusila ketenteraan perlu dijadikan asas membantu keperibadian yang berbudaya tinggi dan dihormati sekaligus melahirkan satu generasi berilmu serta berakhlak mulia. Manakala ilmu pengetahuan pula amat penting kerana tanpanya, kita pasti akan gagal melaksanakan tugas dengan cekap dan berjaya.

“Saudara-saudari mestilah menanam semangat tidak jemu mempelajari dan menambah ilmu dalam semua bidang kerana perkara itu adalah aset dan kuasa untuk kita terus bergerak maju serta berdaya saing,” titah baginda.

Titah baginda itu dibacakan Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Ibni Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin pada Istiadat Perbarisan Pentauliahan Diraja dan Pengurniaan Watikah Tauliah Pegawai Kadet Palapes Universiti Awam Ke-41 di Universiti Utara Malaysia (UUM) di sini, hari ini.

Istiadat perbarisan itu melibatkan 1,488 pegawai kadet Palapes dari 20 universiti awam seluruh negara terdiri daripada 861 pegawai muda dalam Rejimen Askar Wataniah (RAW), 287 pegawai muda Pasukan Simpanan Sukarela Tentera Laut Diraja Malaysia (PSSTLDM) dan 340 pegawai muda Pasukan Simpanan Sukarela Tentera Udara Diraja Malaysia (PSSTUDM). – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI