fbpx

Beras Ganu myGAP, KPKM pelbagai agensi terlibat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PUTRAJAYA – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dengan kerjasama Jabatan Pertanian (DOA) dan beberapa agensi lain terlibat dalam program Beras Ganu myGAP.

KPKM dalam kenyataan berkata, program persijilan Skim Pensijilan Amalan Pertanian Baik Malaysia (myGAP) merupakan program yang dilaksanakan oleh kerajaan persekutuan melalui DOA di seluruh negara.

Katanya, Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu Terengganu Utara (IADA KETARA), Kawalselia Padi dan Beras (KPB) dan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) terlibat dalam Program Beras Ganu myGAP.

“Objektif program myGAP meningkatkan bilangan petani supaya mengamalkan amalan pertanian baik dan diberi pengiktirafan menghasilkan pengeluaran ladang yang selamat dan berkualiti di samping memelihara alam sekitar serta menjaga keselamatan dan kebajikan pekerja,”kata kenyataan itu di sini hari ini.

Kata kenyataan itu, sehingga kini, keluasan tanaman padi di negeri Terengganu yang mendapat pensijilan myGAP berjumlah 908.70 hektar dari keluasan 12,000 hektar.

Jelasnya, pesawah yang terlibat hanya memperolehi insentif upah mesin padi RM8 per guni (85 kg) pada tahun 2021 dan RM9 per guni (85 kg) pada tahun ini sumbangan kerajaan negeri.

“Ini adalah sebagai tambahan kepada bantuan yang diberikan oleh kerajaan persekutuan bagi insentif tanaman padi melalui pemberian subsidi input seperti benih padi sah, baja, racun, bajak, kapur dan subsidi output Skim Subsidi Harga Padi (SSHP) berjumlah hampir RM1.63 bilion setahun di seluruh negara termasuk di Terengganu.

“Manakala dari segi penghasilan beras Ganu myGAP pada tahun 2021, sebanyak 450 metrik tan berjaya dihasilkan dan hanya merupakan 6 peratus dari bekalan beras di pasaran Terengganu,” ujarnya.

Tambahnya, untuk rekod, tahap sara diri (SSL) bagi beras di Terengganu pada tahun lalu adalah 56 peratus ekoran bencana banjir luar jangka yang berlaku dan bukannya 78 peratus seperti yang dilaporkan oleh sesetengah pihak. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI