fbpx

Idea, aspirasi UMNO tak laku di Kelantan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN

PERIKATAN Nasional (PN) yang diterajui Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengekalkan status quo pada Pilihan Raya Negeri (PRN) bulan lalu apabila menang 43 daripada 45 kerusi Dewan Undangan Ne­geri (DUN) di Kelantan.

Gabungan Barisan Nasional-Pakatan Harapan (BN-PH) pula hanya menang di kerusi DUN Galas dan Kota Lama.

Kemenangan PN memboleh­kan mereka merampas enam kerusi iaitu DUN Kok Lanas, Gual Ipoh, Bukit Bunga, Kuala Balah, Nenggiri dan Paloh yang dimenangi BN pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Enam kerusi yang dirampas itu menyaksikan PN memperoleh undi majoriti sederhana iaitu purata 1,100 hingga 2,600 undian.

Hayunan pengundi di enam DUN ke arah PN bukan satu perkara yang mengejutkan dan sudah dijangka terutamanya selepas PN menyapu bersih 14 kerusi Parlimen pada PRU15.

Kemenangan PN terutamanya Pas pada PRU15 memberi isyarat jelas bahawa BN yang ditunjangi UMNO sukar untuk menambat hati pengundi di Kelantan.

Meskipun memberikan tawaran atau manifesto yang menarik untuk pembangunan rakyat Kelantan pada PRN lalu, BN masih gagal meraih undi majoriti yang besar atau sekurang-kurangnya mempertahankan kubu kuat mereka seperti pilihan raya terdahulu.

Pengerusi BN Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub baru-baru ini berpendapat bahawa rakyat Kelantan dilihat masih belum serasi dengan gabungan BN-PH terutamanya semasa tempoh kempen pada PRN.

Meskipun hilang enam kerusi DUN, beliau yakin rakyat tidak menolak BN-PH secara total dan masih ruang untuk penambahbaikan gabungan tersebut pada masa akan datang.

Mengulas mengenai kekalahan BN di Kelantan, Penganalisis politik Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr. Aziz Azizam berkata, formula, aspirasi dan idea yang dibawakan oleh UMNO di Kelantan dilihat tidak releven atau tidak laku bagi rakyat negeri itu.

Menurutnya, kegagalan itu bukan sahaja pada PRN yang lalu, sebaliknya ia sudah dibuktikan selama 33 tahun sepanjang Pas memerintah di Kelantan.

“Tiada dinamik yang jelas berkaitan pemilihan parti politik di Kelantan. Legasi Pas amat kukuh sejak PRU-8 pada 1990. Sejak itu, perjuangan UMNO seakan-akan hilang apabila tidak dapat memenangi hati rakyat.

“BN atau lebih tepat UMNO tidak mampu menjadi pembangkang yang berkesan dalam menjadi ejen semak imbang kepada pentadbiran di Kelantan sejak beberapa penggal lalu,” katanya.

Aziz yang juga Pensyarah Kanan Fakulti Komunikasi dan Media UiTM berpendapat, formula, idea dan aspirasi yang lebih segar perlu digarapkan oleh UMNO dengan lebih teliti bagi memberi impak baharu.

Menurutnya, jenama UMNO secara keseluruhan sedikit sebanyak memberi kesan kepada penolakan rakyat Kelantan kepada parti itu terutamanya pada PRU15 dan PRN lalu.

“Ada pemimpin UMNO terpalit isu melibatkan tatakelola. Aspek dalaman parti terutamanya memecat ahli atau pemimpin yang berwibawa juga memberi kesan kepada penerimaan rakyat Kelantan yang tidak ‘berparti’ terhadap UMNO.

“Justeru, dua Ahli Dewan Undangan Negeri BN-PH perlu membawa idea yang baik semasa persidangan DUN Kelantan nanti. Tidak perlu menunggu menjadi kerajaan untuk memberi kebaikan atau menyampaikan aspirasi rakyat,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI