KEBEBASAN media merupakan unsur penting bagi pengamal media menyampaikan sesuatu penceritaan mahupun bahan kepada tatapan umum dan ia perlu selari dengan negara yang mengamalkan sistem pemerintahan bercorak demokrasi.
Keupayaan media adalah bagi menyampai dan meluahkan isi hati rakyat tanpa sebarang sekatan oleh pihak tertentu mahupun individu berkepentingan.
Istilah kebebasan bagi media juga adalah bermaksud sebarang penyiaran berita itu tidak dikongkong atau disekat oleh mana-mana pihak.
Bagi penulis, bukan semua artikel yang dibuat oleh pemberita bersifat jahat ataupun ingin menjatuhkan mana-mana pihak, namun adakalanya ia juga memberi petunjuk kepada pihak-pihak berkepentingan untuk memperbaiki serta membantu rakyat di negara ini.
Namun, apa yang perlu dilakukan oleh pemberita adalah untuk terus mendapatkan maklumat yang sahih, tidak menipu dan telus dalam setiap pelaporan bagi memberi jaminan tidak berlaku sebarang perbalahan mahupun provokasi.
Baru-baru ini, media melaporkan, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) didesak supaya tidak bertindak seolah-olah sebagai ‘Big Brother’ (Abang Besar) dengan sewenang-wenangnya menyekat kandungan dalam talian.
Lapan tokoh media tampil melahirkan kebimbangan mengenai tindakan SKMM yang telah memanggil pengamal media untuk memberi penjelasan mengenai kandungan yang mereka bawa menerusi portal berita dan laman dalam talian.
Lebih membimbangkang menurutnya, kebanyakan kandungan yang dilabelkan sebagai ‘menyinggung’ adalah laporan dan pendapat yang dianggap kritikal terhadap kerajaan.
Kumpulan itu berkata kerajaan pada hari ini dipilih atas janji untuk membolehkan pengaliran maklumat yang bebas dan untuk menjamin kebebasan media.
Pada masa sama mereka mengakui media sosial yang tidak terkawal memang akan menjadi masalah dan maklumat salah dan berita palsu sudah sampai pada tahap krisis.
Penganalisis Keselamatan dan Politik, Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dr. Noor Nirwandy Mat Noordin berkata, kebebasan media adalah salah satu perkara yang penting bagi memastikan media dalam negara bebas melaporkan berita-berita berkepentingan kepada masyarakat.
Katanya, ini adalah bagi membentuk satu identiti peradaban dan ketamadunan negara yang ingin dibangunkan selaras apa yang dibawa oleh kerajaan ketika ini iaitu konsep Malaysia Madani.
“Perlu difahami, asas dalam membentuk identiti nilai peradaban dan ketamadunan bagi sebuah negara bangsa Malaysia, media menjadi peranan sebagai pembentuk acuan yang utama dalam pemikiran terutama ideologi berkepentingan negara.
“Justeru, pengamal media harus memahami kebebasan media bersuara bersama hak tanggungjawab kebebasan bersuara. Pengamal media juga harus melihat isu-isu berkepentingan masyarakat dan negara selain memahami apa itu dasar keselamatan negara,” katanya.














