fbpx

USIM kumpul IPT 14 negara bincang ekonomi Islam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sebahagian wakil USIM dan universiti asing yang terlibat pada I-iECONS 2023 di Mekah, Arab Saudi baru-baru ini.

FAKULTI Ekonomi dan Muamalat (FEM), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) mencatat sejarah tersendiri apabila buat julung kalinya menganjurkan persidangan The 10th International Islamic Economic System Conference (I-iECONS 2023) secara hibrid.

Sesi pembentangan secara dalam talian itu dilaksanakan pada 7 Ogos, manakala sesi fizikal pula dilaksanakan pada 14 Ogos lalu bertempat di Millennium Makkah Al-Naseem Hotel, Mekah, Arab Saudi.

Seramai 150 peserta daripada lebih 40 institusi pendidikan tinggi (IPT) seluruh dunia terlibat menjayakan 128 pembentangan kertas kerja.

Pembentangan berkenaan berkisar tentang tujuh tema berkaitan ekonomi Islam. Pengarah program, Dr. Muhammad Iqmal Hisham Kamaruddin berkata, persidangan itu melibatkan penyertaan dari 14 buah negara.

Ujarnya, ia termasuk Malaysia, Algeria, Arab Saudi, Australia, Brunei, Filipina, Indonesia, Palestin, Tunisia, Turkiye, Emiriyah Arab Bersatu dan United Kingdom.

“Sebanyak dua ucaptama berkaitan ekonomi Islam telah disampaikan pada I-iECONS 2023.

“Ucaptama pertama adalah bertajuk, Halal Industry Ecosystem and its Impact on Innovative Islamic Finance yang disampaikan oleh Naib Canselor USIM, Prof. Datuk Ts. Dr. Sharifudin Md. Shaarani.

“Manakala ucaptama kedua pula bertajuk, Sustainable Development through Innovative Economic Transformation yang disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Syariah, SME Bank Berhad, Prof. Dr. Amir Shaharuddin.

Ujarnya, satu sesi forum turut diadakan dengan kerjasama Permodalan Nasional Berhad (PNB) bagi membahaskan isu berkaitan Maqasid al-Shariah and Responsible Investment Index (MSRI).

“Indek MSRI merupakan salah satu inisiatif yang dibangunkan oleh pihak PNB menerusi penyelidikan Kerusi Profesor Yayasan Tun Ismail Mohamed Ali (YTI) bersama pihak FEM USIM.

“Ia bertujuan menilai pelaburan yang berteraskan Maqasid al-Shariah.

“Ahli-ahli panel forum yang terlibat termasuklah Ketua Pengurusan Syariah PNB, Dr. Ahmad Basri Ibrahim, Penyandang Kerusi Profesor YTI, Prof. Dr. Fauzias Mat Nor dan Pengerusi Jawatankuasa Syariah, SME Bank Berhad, Prof. Dr. Amir Shaharuddin,” katanya.

Persidangan I-iECONS 2023 melibatkan 128 pembentangan yang berkisar mengenai tujuh tema berkaitan ekonomi Islam.

Turut diadakan satu sesi perkongsian berkenaan dokumen polisi nasional bertajuk, White Paper on Shariah Audit yang dikeluarkan oleh Malaysian Institute of Accountants (MIA).

Ia merupakan sebahagian daripada hasil kajian bersama antara pihak MIA dan FEM USIM yang diketuai oleh Prof. Dr. Zurina Shafii.

Dokumen polisi itu merupakan rentetan daripada desakan untuk mempunyai satu garis panduan khusus berkenaan audit syariah.

Audit berkenaan khusus untuk industri berasaskan syariah seperti kewangan Islam, pasaran modal Islam, koperasi Islam, institusi kerajaan berasaskan syariah dan institusi berkepentingan awam lain.

Sesi perkongsian itu disampaikan oleh Prof. Datuk Dr. Mustafa Mohd. Hanefah, profesor daripada FEM USIM.

Persidangan dwi tahunan itu telah memasuki siri ke-10 dan ketiga kalinya dilaksanakan di luar negara selepas iECONS 2015 di Krabi, Thailand dan iECONS 2017 di Muscat, Oman.

Persidangan 2023 kali ini turut mendapat kolaborasi daripada beberapa universiti luar negara.

Antaranya, Universiti Islam Sultan Sharif Ali (Brunei), Universitas Indonesia (Indonesia), Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Islam Madinah (Arab Saudi) dan University of Prince Muqrin (Arab Saudi).

Pada majlis sama turut diadakan pelancaran Alumni USIM Chapter Timur Tengah yang telah dilancarkan oleh Sharifudin.

Penyampaian watikah pelantikan wakil Alumni Chapter Timur Tengah USIM telah disampaikan kepada Dr. Idris Mukhtar.

Beliau kini berkhidmat di Islamic Corporation for the Development of Private Sector, Islamic Development Bank Group (IsDB), Jeddah, Arab Saudi.

Idris yang berasal dari Nigeria merupakan alumni Doktor Falsafah Ekonomi di FEM USIM pada 2020.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI