fbpx

Merdeka bukan setakat 31 Ogos

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Merdeka… Merdeka… Merdeka… Semalam, tanggal 31 Ogos 2023, seluruh rakyat Malaysia, tidak kira bangsa dan agama bersama-sama meraikan sambutan Hari Kebangsaan Ke-66.

Umum mengetahui, tujuan kita menyambut hari bersejarah itu adalah bagi menghargai jasa dan pengorbanan generasi terdahulu selain memupuk semangat patriotik atau cintakan tanah air.

Namun, penghayatan dan semangat kemerdekaan itu sendiri menjadi semakin pudar ter­utama dalam kalangan generasi muda. Sambutan Hari Kebangsaan itu hanya diterjemahkan pada malam 31 Ogos, tepat pukul 12 tengah malam.

Di Pulau Pinang misalnya, kawasan Padang Kota Lama, Pantai Seagate di Bayan Baru dan Pantai Bagan Ajam di Butterworth menjadi antara lokasi tumpuan muda-mudi berkumpul menantikan persembahan bunga api di ruang udara. Apabila sudah puas, mereka mula beredar.

Dalam situasi yang sama, penghayatan tentang maksud kemerdekaan negara dilihat semakin kelam apabila kibaran Jalur Gemilang sudah tidak lagi digantung atau dihiasi di kebanyakan kediaman mahupun pada kenderaan.

Daripada 50 kenderaan yang melintas di hadapan mata, satu pun belum tentu memilih untuk menghiasinya.

Pensyarah Sejarah, Universiti Sains Malaysia, Profesor Madya Dr. Nazarudin Zainun berkata, semangat patriotik generasi muda hari ini semakin luntur.

“Perbezaan ini berlaku apabila semakin jauh sesebuah generasi dengan peristiwa kemerdekaan itu sendiri.

“Jadi, jarak masa adalah musuh utama kepada keberkesanan penghayatan dan pemupukan rasa cintakan negara,” katanya.

Menurutnya, medium komunikasi yang menjadi tumpuan anak muda masa kini tidak lagi menghidangkan perkara-perkara berkaitan dengan rasa dan semangat patriotisme.

“Apabila peristiwa kemerdekaan negara sudah tidak dianggap sakral lagi, sebaliknya segala pengisiannya hanya berbentuk hiburan semata-mata. Di sesetengah negara, sambutan Hari Kemerdekaan ditunggu-tunggu oleh masyarakatnya se­perti di Indonesia pada 17 Ogos.

“Ja­ngan hairan jika ada yang masih tidak tahu tarikh kita merdeka,” ujarnya.

Dalam pada itu, katanya lagi, kebanjiran konten dalam gajet yang berteraskan hiburan, judi dan lain-lain yang bersifat universal dan melalaikan telah melunturkan ingatan muda-mudi kepada unsur lain termasuk isu patriotisme.

“Seharusnya perbanyakan konten berkaitan rasa sayangkan negara dan bangsa berban­ding urusan lain serta pengisian berkaitan dengan rasa sayangkan negara juga seharusnya dilakukan berterusan oleh pihak berwajib,” ujarnya.

Nazarudin memberitahu, media sosial sememangnya mempunyai peranan penting kepada golongan muda mendekatkan diri dengan isu semasa.

“Jika media sosial digunakan dan dipandu dengan baik maka tidak hairanlah medium itu akan mempunyai pengaruh yang besar dalam kalangan anak muda.

“Media sosial boleh menjadi medan untuk mereka berbincang secara terbuka mengenai patrio­tisme. Apa yang penting adalah penglibatan golongan muda dan tua dalam penganjuran sebarang program berkaitan.

“Tiada merdeka yang datang sendiri, semuanya perlu diusaha dan diperjuangkan. Tiada semangat patriotisme yang tumbuh sendiri. Semuanya perlu dipupuk dan disosialisasikan seawal mungkin secara terancang dan berterusan,” tambahnya.

Terjemahkan semangat cintakan negara bukan hanya ketika sambutan Hari Kebangsaan yang disambut setiap 31 Ogos atau pada Hari Malaysia pada 16 September.

Sebaliknya, interpretasikan penghayatan dan ke­setiannya menerusi prinsip dalam Rukun Negara. Ia merupakan kunci utama kepada keharmonian dan perpaduan kaum demi kestabilan negara yang kita cintai.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI