fbpx

Kaki putus terpijak jerangkap samar komunis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Hassanuddin menunjukkan sijil penghargaan yang diterimanya ketika ditemui di Stadium Perak, Ipoh semalam.

IPOH – Kecacatan kekal akibat terpijak jerangkap samar dalam operasi memburu komunis di Klian Intan, Gerik pada 45 tahun lalu, tidak akan pernah terhakis daripada ingatan seorang pesara tentera.

Sarjan (B) Hassanuddin Abd. Karim, 75, berkata, insiden yang menyebabkan dia hilang kaki kiri sehingga paras buku lali itu berlaku ketika menyertai operasi Echo Foxtrox pada 11 Julai 1978.

“Walaupun telah 32 tahun bersara daripada komando, kejadian terpijak jerangkap samar itu antara peristiwa yang amat sukar dilupakan.

“Malah, sehingga kini, saya masih terbayang-bayang lagi kejadian itu terutama apabila melihat parut di kaki. Saya bangga kerana kecacatan kekal ini bukti bakti saya kepada negara,” kata­nya ketika ditemui pada sambutan Hari Kebangsaan 2023 pe­ringkat ne­geri di pekarangan Stadium Perak di sini semalam.

Hassanuddin yang merupakan bekas anggota Rejimen Gerak Khas Malaysia (RGKM) itu merupakan seorang daripada sembilan penerima sumbangan wira negara yang disampaikan oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Menurut bapa kepada enam anak itu, selain peristiwa pahit terkena jerangkap samar, dia juga sukar melupakan situasi ketika menyertai Op Gonzales pada 1974.

Katanya, ketika operasi tersebut, dia berhadapan saat-saat cemas apabila dilemparkan tiga butir grenade (bom tangan) oleh musuh.

“Kejadian itu sangat mendebarkan, namun saya terselamat kerana bom berkenaan tidak meletup,” katanya.

Sementara itu, mengulas sumbangan wira negara yang dite­rimanya, Hassanuddin berkata, dia bersyukur dan terharu apa­bila pengorbanannya sebagai anggota tentera mendapat perhatian pihak kerajaan.

“Terima kasih kepada kerajaan negeri kerana menghargai jasa dan sumbangan kami ke­pada negara. Saya benar-benar ber­syukur dan gembira,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI