fbpx
Nizran (kanan) pada majlis pelancaran ITM 2023 di Ipoh, Perak baru-baru ini.

ITM 2023 tonjol produk pelancongan mesra Muslim

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Pusat Pelancongan Islam (ITC), iaitu sebuah agensi di bawah seliaan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) telah melancarkan Bulan Pelancongan Islam (ITM) 2023 baru-baru ini.

Program yang berlangsung selama sebulan bermula 21 Ogos hingga 17 September itu bertujuan untuk menonjolkan pelbagai produk dan perkhidmatan pelancongan mesra Muslim serta menggalakkan dan memperkukuhkan kerjasama dalam kalangan pemain industri dalam ekosistem pelancongan.

Ketua Pengarah ITC, Nizran Noordin berkata, program yang dirancang diwarnai dengan pelbagai acara, aktiviti dan tawaran pelancongan dan ia terbuka kepada orang awam, pelancong serta penggiat industri pelancongan termasuk para usahawan.

Selain daripada pelbagai tawaran promosi istimewa untuk penginapan, pakej pelancongan, pengalaman spa dan penjagaan diri serta makanan dan minuman, ITM 2023 turut menganjurkan sesi seminar dan pameran, selain Hari Terbuka Masjid yang dianjurkan bersama masjid-masjid terkemuka seluruh negara.

“Bulan Pelancongan Islam 2023 berfungsi sebagai platform untuk mencipta nilai yang besar untuk industri, orang ramai dan pelancong.

“Bagi pemain industri pelancongan, ini adalah peluang untuk mereka menawarkan produk dan perkhidmatan yang mendapat permintaan tinggi oleh pasaran pelancong Muslim.

“Pada masa yang sama, pelancong domestik dan pelancong antarabangsa dapat merasai kepelbagaian budaya Malaysia dan gaya hidup Islam yang sederhana dalam persekitaran yang selamat serta mesra,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini.

Majlis Pelancaran Pengalaman Bulan Pelancongan Islam telah berlangsung di Perak, yang di­sempurnakan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad.

Selain itu, ITM tahun ini turut dipertingkatkan lagi dengan penggunaan teknologi kod QR (respons pantas), yang mana dengan peranti pintar, orang ramai boleh mengimbas untuk mendapatkan akses segera kepada tawaran dan promosi yang menarik.

Mereka juga akan memperoleh maklumat penting tentang acara, produk dan perkhidmatan yang telah disediakan khas oleh ITM 2023 dan rakan-rakan strategiknya sepanjang bulan ini.

Pada masa sama, terdapat juga Cabaran Tik Tok dengan hadiah menarik untuk dimena­ngi. Antara hadiah utama adalah 30 kad pra-bayar dengan nilai RM1,000 setiap satu yang ditawarkan oleh Mastercard.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN