Azeem kebanggaan keluarga, Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SELASA lepas, seorang bapa yang penuh bersemangat memandu kenderaannya dari Ipoh, Perak ke Petaling Jaya bagi mewakili anaknya menerima Anugerah Khas 100Plus 2022.

Pasti kepenatan akibat pekerjaan seharian, namun sang bapa gagahkan juga untuk hadir kerana hari itu merupakan kebanggaan buat semua termasuk keluarga, si ibunya, adik beradik, daerah, negeri, negara, bangsa dan agama.

Penulis yang duduk semeja dengan sang bapa tersebut dapat menyaksikan dengan jelas pada raut wajahnya betapa bangganya beliau menanti saat nama anaknya diumumkan untuk meraih Anugerah Khas 100PLUS 2022.

Sang bapa tidak putus-putus mengukir senyuman, malah beliau turut ramah bertegur sapa dengan tetamu termasuk penulis sendiri, boleh dikatakan sangat disenangi oleh semua orang.

“Saya bapa Muhammad Azeem (pelari pecut Malaysia),” kata Mohd. Fahmi Tajuid sambil menghulurkan salam berjabat tangan dengan penulis yang baru tiba pada malam itu sambil saling bertukar senyuman.

Penulis sempat bertanyakan mana ibu Azeem? Mohd. Fahmi menjawab isterinya, Norazah Ibrahim berada di Kedah, jadi beliau bersendirian hadir ke Anugerah Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM)-100Plus di Sunway.

Anugerah Khas 100PLUS 2022 diberikan kepada pelari pecut negara, Muhammad Azeem di atas pencapaian konsistennya dalam sukan olahraga sejak berusia 14 tahun lagi hingga berjaya memecahkan rekod 100 meter kebangsaan yang kini menjadi miliknya dengan catatan masa 10.09 saat.

Muhammad Azeem (lahir 29 April 2004) ialah pelari pecut Malaysia. Dia adalah pemegang rekod 100 meter luar Malaysia semasa dengan masa 10.09 saat. Beliau kini memegang rekod kebangsaan Malaysia bawah 20 tahun dalam acara 200 meter dengan catatan masa 20.83 saat.

Perbualan penulis dan bapa Azeem berterusan, malah apa yang menariknya tentang sang bapa ini, beliau menceritakan kisah anaknya dengan penuh kasih sayang, sekejap-sekejap dia menggamit memori lamanya sebelum bercerita lagi.

Sang bapa juga menitipkan ucapan terima kasih Azeem kepada media kerana sentiasa menyokong dirinya. Malah, Azeem sering bersemangat apabila membaca kembali keratan-keratan akhbar

Mohd. Fahmi sudah menyedari minat anaknya dalam larian sejak Azeem darjah dua sambil mendedahkan ‘ke mana kuah jika tidak tumpah ke nasi’, malah beliau bukan hanya terlibat olahraga bahkan memiliki lesen kejurulatihan bola sepak, sekali dengan Tan Cheng Hoe.

Berdasarkan perbualan tersebut, penulis mempelajari sesuatu bahawa keluarga mahupun ibu bapa yang memutuskan untuk menyokong minat anak-anak sejak kecil lagi, sama ada dalam bidang sukan atau akademik dilihat lebih baik pembangunannya.

Menerusi sokongan keluarga, sama ada percaya atau tidak, ia seolah-olah satu suntikan keramat yang mampu memberikan kuasa adiwira, mungkin bergantung kepada kepercayaan masing-masing apabila bersaing.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN