fbpx

Kontinjen pejabat SUK juara Pakaian Terbaik Hari Kebangsaan peringkat negeri Johor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KONTINJEN pejabat SUK Negeri Johor diumumkan sebagai kategori Pakaian Terbaik pada Majlis Perbarisan dan Perarakan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Johor 2023 di Simpang Renggam, Kluang hari ini.

KLUANG – Usaha 35 orang petugas daripada Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Johor menyiapkan pakaian berkonsepkan pelbagai kaum di negara ini tidak sia-sia apabila mereka dinobatkan sebagai juara kategori Pakaian Terbaik bagi Majlis Perbarisan dan Perarakan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Johor 2023, hari ini.

Ketua Kontinjen Perbarisan SUK Negeri Johor, Mohd. Nizam Muji berkata, usaha berkenaan mengambil masa hampir dua bulan dan idea untuk mengenakan busana tersebut datangnya dari konsep ‘Kerajaan Perpaduan’

Katanya, sebanyak 11 jenis pakaian tradisi dipakai ketika perbarisan seperti pakaian dari kaum Melayu, Cina, India, Bumiputera Sabah dan Sarawak serta beberapa etnik lain seperti Bugis dan juga Minang.

“Selain menunjukkan yang negara ini mempunyai pelbagai kaum dan etnik, tujuan kami memakai pakaian berkenaan adalah untuk menunjukkan perpaduan di kalangan penduduk di Malaysia.

“Ia juga sebagai satu tanda hormat kami oleh pihak SUK Johor kepada mereka (kaum dan etnik) kerana menjaga konsep perpaduan yang ditetapkan oleh Kerajaan ketika ini,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Perbarisan dan Perarakan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Johor 2023, di Jalan Johor Bahru – Ayer Hitam, di Simpang Renggam, dekat sini, hari ini.

Pada majlis berkenaan ianya turut dihadiri dan dirasmikan oleh Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan disertai 10,000 pengunjung termasuk 5,000 peserta perbarisan daripada 118 kontinjen pelbagai agensi.

Sementara itu, bagi petugas SUK Negeri Johor Nuraina Syafiqa Jefri, dia yang menyertai majlis perbarisan untuk kali kedua berturut-turut berbangga apabila kontinjennya dipilih menjadi juara, lebih-lebih lagi dia mengenakan pakaian tradisi Orang Melayu, selain ditugaskan untuk membawa plackard.

Katanya, tahun lalu kontinjennya mengenakan pakaian korporat tetapi tahun ini agak berbeza dan ianya bersesuaian dengan tema Hari Kebangsaan, Malaysia Madani Tekad Perpaduan Penuh Harapan.

“Saya dan juga ahli kontinjen SUK Johor cukup bersemangat kali ini untuk mengenakan pakaian (pelbagai kaum dan etnik) berkenaan, terutama untuk disaksikan oleh Menteri Besar Johor sendiri.

“Malah kami tidak menyangka apabila dinobatkan sebagai juara pakaian terbaik tahun ini, memandangkan saingan daripada agensi lain cukup sengit..niat kami hanyalah untuk menunjukkan konsep perpaduan di negara ini,” katanya – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI