fbpx

Bot pelancong sertai perarakan Hari Kebangsaan di Sungai Melaka

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PESILAT membuat persembahan di atas bot pelancongan MRC yang turut terlibat dalam perarakan sambutan Hari Kebangsaan Ke-66 di Melaka, hari ini. - Foto oleh SYAFEEQ AHMAD / KOSMO!

MELAKA – Sambutan Hari Kebangsaan Ke-66 di negeri ini disambut penuh meriah, malah buat pertama kalinya bot pelancongan Melaka River Cruise (MRC) menyertai perarakan dengan menelusuri Sungai Melaka selepas 18 tahun penubuhannya di sini, hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM), Datuk Murad Husin berkata, sebanyak 12 buah bot dan dua jet ski terlibat dalam lintas langsung perarakan itu dengan jarak perjalanan sejauh sembilan kilometer.

“Bot-bot ini dinaiki 250 peserta dari Jeti Dataran Pengkalan Rama ke Muara Sungai Melaka dan akan berpatah balik.

“Ia terdiri daripada 200 pesilat dari Persatuan Seni Silat Kunci Melayu Melaka (SIKUME) dan 50 kanak-kanak berpakaian etnik yang terdapat di Melaka,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

 

SUASANA sambutan Hari Kebangsaan Ke-66 di Bandar Hilir, Melaka. – Foto oleh SYAFEEQ AHMAD / KOSMO!

Mengulas lanjut beliau berkata, kesemua pesilat itu akan membuat persembahn bunga silat sambil mengibarkan Jalur Gemilang ketika perarakan berlangsung.

“Kanak-kanak yang terlibat pula merupakan anak kepada kakitangan PPSPM,” ujarnya.

Sambutan Hari Kebangsaan di Melaka hari ini menyaksikan hampir 10,000 peserta daripada pelbagai agensi mengambil bahagian pada acara perbarisan dan perarakan di Dataran Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan, Banda Hilir.

Jumlah tersebut sekali gus menjadikan sambutan pada kali ini adalah yang terbesar diadakan kerajaan negeri selepas pandemik Covid-19.

Antara agensi terlibat membuat persembahan termasuklah Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta badan bukan kerajaan (NGO) juga pelajar sekolah. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI