fbpx

Penganggur didakwa pukul jiran guna pengunci stereng

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TERTUDUH mengaku tidak bersalah memukul jirannya sehingga parah menggunakan batang pengunci stereng pada minggu lalu.

MELAKA – Seorang penganggur dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan memukul jirannya dengan batang pengunci stereng kereta sehingga parah, minggu lalu.

Tertuduh, Ahmad Baba, 53, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Mohd. Sabri Ismail.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja mendatangkan cedera parah terhadap Zulhelmi Md. Yusof, 42, dengan menggunakan batang pengunci stereng kereta sepanjang 54 sentimeter yang mana senjata tersebut jika digunakan dengan salah boleh menyebabkan kematian.

Kesalahan itu dilakukan kira-kira pukul 6.22 petang di sebuah rumah bernombor di Lorong Pandan dalam daerah Melaka Tengah pada 22 Ogos 2023.

Sabit kesalahan tertuduh boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan boleh juga dikenakan denda atau sebat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

Difahamkan tertuduh sebelum ini pernah mengugut dan menyerang mangsa sama secara tiba-tiba disebabkan perkara yang tidak jelas butirannya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Nazrin Ali Rahim tidak mencadangkan sebarang jaminan kepada tertuduh dengan mengambil kira faktor keselamatan mangsa dan saksi-saksi pendakwaan yang tinggal di kawasan sama. Beliau turut memohon tarikh baru untuk serahan laporan perubatan.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam bagaimanapun tidak mengemukakan sebarang rayuan, sebaliknya mempertahankan tindakannya dengan alasan nyawanya turut diancam oleh mangsa.

Setelah mendengar hujah kedua belah pihak, mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan tarikh 24 Oktober depan untuk sebutan semula kes. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI