fbpx

Semua negeri disaran sertai MKI – Sultan Sharafuddin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sultan Sharafuddin ketika mempengerusikan Mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia Kali ke-70 di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini hari ini.

PETALING JAYA – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan harapan negeri-negeri yang masih belum menganggotai Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) menyahut pelawaan dan menganggotai platform musyawarah MKI ini secara rasmi.

Baginda yang juga Pengerusi MKI bertitah bahawa MKI adalah sebuah institusi yang mendapat perkenan Majlis Raja-Raja, bukan sahaja dari segi penubuhan, malah dari segi keahliannya.

“Keanggotaan utama dalam MKI adalah daripada wakil negeri-negeri yang memainkan peranan yang amat penting di dalam menyelaras hal ehwal Islam,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian Mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia Kali ke-70 di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini hari ini.

Mesyuarat tersebut turut dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Timbalan Pengerusi MKI.

Titah baginda lagi, walaupun telah banyak kejayaan dicapai melalui rundingan di platform MKI, masih terdapat pelbagai perkara yang belum selesai yang memerlukan penglibatan semua ahli-ahli mesyuarat mencetuskan idea dan buah fikiran yang bernas.

Sementara itu, Mesyuarat MKI pada sidang kali ini turut membincangkan satu kertas dasar berkaitan penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam dengan menggariskan panduan yang lengkap dan komprehensif.

“Segala keputusan yang dicapai oleh MKI berkaitan isu kalimah Allah ini nanti akan diangkat kepada Majlis Raja-Raja pada mesyuaratnya yang akan datang, dan dengan itu satu dasar berhubung penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam di negara ini dimuktamadkan.

“Memandangkan isu penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam ini merupakan isu yang sensitif di kalangan penganut Agama Islam di Malaysia serta melibatkan penggunaan kalimah Allah oleh sebahagian orang Kristian di negeri Sabah dan Sarawak.

“Maka ia perlu dikaji dan diteliti dengan mendalam dan dimuktamadkan segera dengan penuh hikmah dan tanggungjawab,” titah baginda.

Dalam pada itu, menyentuh berkenaan komitmen MKI dalam memperkasa Pendidikan Islam, baginda berpandangan, ia merupakan manifestasi kepercayaan Majlis Raja-Raja untuk melihat tadbir urus institusi pendidikan Islam di Malaysia dapat diselaraskan dengan lebih baik dan teratur.

“Dalam hubungan ini, adalah menjadi tanggungjawab semua pihak untuk memastikan institusi pendidikan itu berkualiti serta memenuhi aspirasi ibu bapa, masyarakat dan negara untuk melahirkan pelajar cemerlang di dunia dan di akhirat,” titah baginda. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI