fbpx
Pengantin dihias indah berlatarbelakangkan pelamin yang disiapkan oleh Sazlees Bridal bersesuaian dengan bajet pelanggan.

Azie tawar pakej perkahwinan serendah RM1,500 kepada bakal pengantin tidak berkemampuan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Menjadi raja sehari memerlukan perancangan yang rapi khususnya perbelanjaan wang ringgit yang besar.

Namun, jika bakal pengantin itu bijak menilai dan menguruskan perbelanjaan mengikut poket masing-masing, pastinya kenangan sehari dalam seumur hidup itu akan meninggalkan kenangan menarik dalam diri mereka.

Di sinilah faktor pemilihan pakej perkahwinan daripada penyedia perkhidmatan pengurusan perkahwinan berpengalaman yang bersesuaian dengan kantung bakal pengantin dan mereka perlu membuat keputusan yang tepat, bimbang takut ia tidak memenuhi apa yang dipromosikan.

Bakal pengantin yang memilih Sazlees Bridal Gallery (Sazlees Bridal) yang telah berpengalaman lebih 30 tahun dalam bidang itu pastinya bakal me­nerima sentuhan terbaik dalam penyediaan busana, pe­lamin dan solekan serta perkhidmatan lain yang mampu meme­nuhi keperluan pelanggan.

Air tangan pengasas butik itu, Azie Mohamad Zaini, 46, yang banyak mewarnai majlis perkahwinan pengantin selama ini membuatkan beliau sudah cukup terkenal di wilayah Utara.

Wanita yang berasal dari Kuala Lumpur itu mengoperasikan perniagaannya di Changkat Jering, Perak bermula secara kecil-kecilan dengan membuka salun dan seterusnya melangkah ke bisnes yang lebih mencabar dalam butik pengantin.

Fasa demi fasa, Azie menguruskan perniagaan butik perkahwinan itu seiring dengan trend masa kini menjadikan beliau begitu matang mendepani cabaran, tipu helah, untung rugi dan juga ragam pelanggan, bukan sahaja daripada bakal pengantin, malah juga keluarga pengantin.

Itu belum dikira lagi daripada transaksi bisnes dengan pelbagai vendor yang terlibat dalam perniagaan tersebut, membolehkan beliau bijak mengendalikannya dalam saat genting atau kritikal kerana sesebuah ken­duri perkahwinan bukan melibat kos ratusan ringgit tetapi sehingga ratusan ribu ringgit (bagi mereka yang berkemampuan).

Sazlees Bridal memiliki keunikannya tersendiri dengan menawarkan pakej perkahwinan yang lengkap termasuk pelbagai pilihan pakaian pengantin berkonsepkan tradisional dan juga moden dengan pilihan warna bersesuaian serta disuai padan dengan solekan bergaya seiring dengan tema majlis yang dirancang pelanggan.

Sehubungan itu, beliau bersedia menawarkan pakej pada harga berpatutan mengikut ke­perluan bajet pelanggan bermula daripada pakej rahmah sehingga yang bertaraf premium kepada pelanggan.

Bagi pakej premium, Azie akan membuat rekaan pakaian terbaharu bersesuaian dengan tema majlis, pelamin dan pelbagai lagi mengikut bajet mewah pe­langgan, manakala pakej rahmah yang serendah RM1,500 membo­lehkan bakal pengantin memakai busana yang disediakan oleh butik syarikat beserta solekan.

“Pakej rahmah ini bertujuan membantu golongan kurang berkemampuan membuat tempahan pakaian pengantin dan juga solekan, menjadikan mereka raja sehari yang cantik untuk diraikan.

“Kos kenduri kahwin sekarang semakin meningkat dan ada bakal pengantin daripada keluarga kurang berkemampuan terpaksa melupakan hajat untuk bersanding dengan memakai pakaian raja sehari ekoran bajet yang sedikit.

“Tetapi keprihatinan syarikat, kami bakal merealisasikan hajat mereka itu,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Azie berkata, ini adalah salah satu promosi menarik yang ditawarkan Sazlees Bridal selepas berdepan dengan cabaran pandemik tiga tahun lepas kerana industri berkaitan perkahwinan merudum sehingga menjejaskan ramai pengusaha.

Namun syarikat beliau terus bertahan hingga kini ekoran pelbagai bantuan pemulihan daripada kerajaan dan juga tiada beban sewa perlu ditanggung kerana butiknya itu adalah milik dirinya sendiri.

“Saya kumpul duit sejak mula-mula berniaga dan sehingga cukup, saya beli aset ini untuk dijadikan butik sehingga ke hari ini.

“Rezeki dalam bidang ini berterusan, selain disokong oleh pelanggan setia dan juga baharu,” jelasnya.

Tambah Azie, berdepan cabaran daripada pemain baharu yang lebih suka ‘bermain harga’ sehingga boleh merosakkan nilai tawaran pakej yang lengkap dan berkualiti di pasaran, tidak menggugat keyakinan pelanggan terhadap Sazlees Bridal.

Ini kerana beliau percaya kepada segmen pasarannya yang tersendiri dan kesetiaan pelanggan yang membantu menghebahkan promosi per­khidmatannya secara mulut ke mulut membo­lehkan per­khidmatan Azie terus dicari oleh bakal pengantin baharu.

Beliau tetap menawarkan perkhidmatan berkualiti meskipun pelanggan mengambil pakej rahmah kerana percaya air tangan orang lama mampu menaikkan seri raja sehari, selain disokong oleh penyediaan per­khidmatan lain yang profesional serta lengkap. -KOSMO!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN