fbpx

EPL: Romelu Lukaku ‘terperangkap’ di Chelsea

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
LUKAKU berdepan situasi kerjaya yang tidak menentu apabila masih gagal mendapatkan pasukan baharu ketika khidmatnya tidak lagi diperlukan Chelsea. - AFP

LONDON – Penyerang Chelsea, Romelu Lukaku mungkin akan terus ‘tersangkut’ di kelab itu selepas dia semakin kesuntukan masa untuk mencari pasukan baharu sebelum jendela perpindahan ditutup.

Pemain antarabangsa Belgium itu dianggap sudah tidak memiliki masa depan di Stamford Bridge apabila hanya dibenarkan menjalani latihan bersama skuad bawah 21 tahun selain tidak diberikan nombor jersi musim ini.

Setakat ini, hanya Juventus yang berminat untuk mendapatkan khidmatnya selepas dia beberapa kali menolak tawaran dilakukan pasukan Liga Pro Saudi, Al-Hilal selain enggan kembali ke Inter Milan.

Selain itu, Pengurus Chelsea, Mauricio Pochettino juga masih belum bercakap dengan pemain berusia 30 tahun tersebut kerana menganggap dia boleh merosakkan keharmonian dalam skuad utama.

Justeru, Juventus mahu mengambil kesempatan tersebut bagi mendapatkan khidmat Lukaku dengan menyaksikan penyerang The Old Lady, Dusan Vlahovic berhijrah ke Chelsea sebagai syarat pertukaran.

Bagaimanapun, The Blues enggan melayan permintaan Juventus memandangkan mereka bukan sahaja perlu menyerahkan Lukaku, malah turut dipaksa membayar hampir £42 juta (RM248.98 juta) bagi mendapatkan Vlahovic.

Dalam pada itu, permintaan gaji Vlahovic yang dianggap sangat tinggi kira-kira £7 juta (RM41.49 juta) setahun turut menghalang Chelsea daripada mendapatkan khidmat pemain antarabangsa Serbia berkenaan. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI