fbpx

Exco baharu sedia sahut cabaran mentadbir negeri paling maju

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohammad Fahmi ketika ditemui selepas pengumuman portfolio Exco Selangor, hari ini. - Foto oleh AFIQ RAZALI / KOSMO!

SHAH ALAM – Dua Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Selangor baharu akan menganggap portfolio yang diterima mereka sebagai satu cabaran terutama dalam memastikan kelicinan pentabdiran negeri paling maju di negara ini.

Exco Hal Ehwal Agama Islam, Dr. Mohammad Fahmi Ngah berkata, beliau bersedia menyahut cabaran yang diberi Menteri Besar Selangor untuk memikul amanah dalam portfolio tersebut.

“Saya difahamkan terpilih memegang portfolio ini kerana saya mempunyai pendidikan sekolah agama selama lima tahun dan banyak Alumni Kolej Islam (ALKIS) berada di peringkat pentadbiran. Insya-Allah, ramai ‘abang-abang’ saya boleh bantu dan tunjuk (ajar) saya.

“Agama berada di bawah Sultan Selangor dan diselia dibawah Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS). Sudah tentu, saya akan memastikan Islam di Selangor berada di tempatnya,” katanya ketika ditemui selepas pengumuman portfolio Exco hari ini.

Beliau turut menjelaskan akan memperluaskan hebahan mengenai ajaran Islam menerusi media sosial pada masa depan selaras dengan dunia teknologi ketika ini.

Sementara itu, Exco Sumber Manusia dan Pembasmian Kemiskinan, V. Papparaidu berkata, akan menggunakan sepenuhnya pengalaman sebagai pegawai kerajaan sebelum ini untuk menyempurnakan tugas sebagai Exco yang menjaga sumber manusia dan membasmi kemiskinan.

“Saya juga akan meminta nasihat Exco yang berpengalaman untuk menjayakan tugasan yang diberi. Abang saya yang merupakan bekas Exco dan kini Ahli Parlimen Klang (V. Ganabatirau) sebagai contohnya akan menjadi rujukan dalam beberapa perkara berhubung pentadbiran kerajaan,” katanya. -KOSMO!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI