PUTRAJAYA – Pemikiran yang kurang matang selain mental tidak stabil akan mendedahkan remaja yang mengamalkan seks bebas kepada penyakit jangkitan seksual, kehamilan tidak dirancang, pembuangan bayi dan kematian ibu hamil.
Ketua Pengarah Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Abdul Shukur Abdullah berkata, remaja mudah terdedah kepada tingkah laku seksual yang kurang sihat.
Katanya, pendidikan awal di rumah berupaya menjadi pencegah ampuh kepada mereka supaya tidak terjerumus kepada seks bawah umur.
“Selain itu, pendidikan kesihatan reproduktif dan seksual melalui kaedah formal dan informal di luar sekolah dapat mencegah masalah sosial itu.
“Sistem pendidikan perlu menerapkan pendidikan seksualiti dalam pelbagai mata pelajaran seperti Pendidikan Jasmani dan Kesihatan, Pendidikan Islam, Pendidikan Moral, Sains, Sains Tambahan dan Biologi,” katanya ketika dihubungi baru-baru ini.
Menurut Abdul Shukur, pendidikan itu perlu bermula di rumah, di mana ia merupakan tanggungjawab ibu bapa dan keluarga untuk mengajar anak-anak berkenaan kesihatan reproduktif dan sosial,” katanya.
Tambahnya, LPPKN memandang serius isu melibatkan tingkah laku sosial remaja termasuk mengadakan hubungan seks ketika masih bersekolah kerana boleh memberi kesan negatif.
“Jika diteliti, terdapat banyak punca kenapa remaja mudah terjebak isu sosial antaranya pengaruh rakan sebaya selain kurangnya pengetahuan dan kemahiran pendidikan kesihatan reproduktif serta sosial,” katanya.














