fbpx

Speedy Tigers naib juara ACT 2023

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
BARISAN pemain negara menamatkan saingan ACT 2023 dengan gelaran naib juara selepas tewas 3-4 kepada India pada aksi final sebentar tadi. - AHF / HOCKEY INDIA

PETALING JAYA – Hasrat skuad hoki lelaki negara untuk menjuarai saingan Trofi Juara-Juara Asia (ACT) 2023 tidak menjadi kenyataan apabila tewas 3-4 kepada India pada aksi final di Stadium Mayor Radhakrishan sebentar tadi.

Kekalahan di Chennai, India itu membuktikan Speedy Tigers masih ada ‘kerja rumah’ perlu dilakukan sebelum ke Sukan Asia Hangzhou, China bulan depan apabila gagal mempertahankan kelebihan dua gol ke atas tuan rumah.

India yang berada di ranking keempat dunia, terlebih dahulu membuka tirai jaringan menerusi pukulan sudut penalti yang disempurnakan Jugraj Singh pada minit kesembilan.

Kedudukan itu tidak bertahan lama apabila Speedy Tigers, No.9 dunia, bangkit memadam meledak tiga gol untuk mendahului India dalam separuh masa pertama.

Tiga gol skuad bimbingan A. Arul Selvaraj itu dijaringkan oleh Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal (m-14), Muhammad Razie Abd. Rahim (m-18) dan Muhamad Aminuddin Mohd. Zain pada minit ke-28.

Kebangkitan India bermula pada penghujung suku masa ketiga apabila meledak dua gol dalam tempoh kurang seminit untuk menyamakan kedudukan 3-3 menerusi Harmanpreet Singh dan Gurjant Singh.

Kesilapan dilakukan pemain tengah, Meor Muhamad Azuan Hasan dimanfaatkan sepenuhnya oleh Akashdeep Singh untuk menghukum skuad negara dengan gol kemenangan India pada minit ke-56.

Walaupun gagal bergelar juara tetapi pujian harus diberikan kepada barisan pemain dan kejurulatihan kerana berjaya melakar sejarah baharu mara ke final ACT buat kali pertama dalam sejarah sejak mula dianjurkan pada 2011.

Para pemain tidak seharusnya kecewa, sebaliknya menggandakan usaha menebus kekalahan tersebut dengan memenangi pingat emas Sukan Asia Hangzhou, sekali gus layak automatik ke Sukan Olimpik Paris 2024.

Jika berjaya, ia akan menamatkan penantian 24 tahun skuad negara yang kali terakhir membuat penampilan di pentas Olimpik sewaktu edisi 2000 di Sydney, Australia. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI