fbpx
Razak terkejut apabila melihat satu lembaga wanita berambut panjang bertenggek di atas van jenazah semasa dirinya memintas van tersebut yang bergerak perlahan melalui Lebuh Raya Timur Barat yang menghubungkan Gerik dan Jeli. – ILUSTRASI SHAH HASAN

Misteri lembaga atas van jenazah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Razak (bukan nama sebenar) berkongsi kisah pernah berdepan kejadian menyeramkan berkait van jenazah kira-kira 10 tahun lalu.

Cerita Razak, kejadian tersebut berlaku ketika dia dalam perjalanan pulang ke kampungnya di Kota Bharu, Kelantan dari tempat kerja di Pulau Pinang.

“Ketika itu saya masih bujang, saya menaiki kereta untuk pulang bercuti ke kampung sempena cuti umum.

“Disebabkan saya pulang kerja pukul 6 petang, saya bertolak meninggalkan rumah kira-kira pukul 10 malam selepas selesai makan malam dan menyimpan pakaian di dalam beg.

“Saya memang sudah biasa melakukan perjalanan pulang ke kampung pada waktu malam berseorangan.

“Jadi, saya tidak berasa sebarang kelainan pada malam tersebut,” katanya.

Menurut Razak, satu-satunya laluan yang ada ialah Lebuh Raya Timur-Barat yang menghubungkan Gerik di Perak dengan Jeli di Kelantan merentasi kawasan hutan Banjaran Titiwangsa.

Katanya, perjalanan melalui lebuh raya tersebut pula biasanya mengambil masa kira-kira satu jam 30 minit.

“Selepas kira-kira satu jam lebih memandu, saya berhenti di sebuah restoran mamak yang terletak di persimpangan Pengkalan Hulu-Gerik bagi meneguk air panas untuk menghilangkan rasa mengantuk.

“Selepas melihat jam, menunjukkan pukul 12.30 tengah malam, saya menyambung perjalanan memasuki Lebuh Raya Timur-Barat.

“Pada malam itu, jumlah kenderaan sangat kurang, boleh dikatakan hanya sesekali berselisih dengan kenderaan lain,” katanya.

Jelas Razak lagi, selepas kira-kira 30 minit memandu dalam suasana gelap, tiba-tiba dia melihat sebuah van di hadapannya yang dipandu sangat perlahan.

Pada awalnya, dia tidak mengesyaki apa-apa kerana keadaan jalan di situ berbukit dan mungkin kenderaan tersebut sedang membawa muatan berat.

“Dari jauh, saya dapat membaca tulisan ‘van jenazah’ pada bahagian pintu belakang van.

“Sangkaan saya, pemandu kenderaan itu sengaja memandu perlahan bagi memberi penghormatan kepada jenazah di dalamnya.

“Namun, sebaik sahaja saya cuba memotong kenderaan terbabit, saya dapat melihat dengan jelas ada satu lembaga menyerupai wanita berambut panjang sedang bertenggek di atas bumbung van tersebut.

“Sebaik melihat wajah lembaga itu yang agak menyeramkan, saya terus membunyikan hon untuk memberi isyarat kepada pemandu van.

“Pada masa sama, saya menunjukkan tangan ke arah bumbung van tersebut,” katanya.

Tambah Razak, dia yang ketakutan terus memecut laju keretanya.

Dia hanya berhenti di sebuah restoran di kawasan perkampungan Hutan Melintang di Jeli yang masih dipenuhi orang untuk menghilangkan ketakutannya.

Kira-kira sejam berada di situ, dia melihat van jenazah terbabit melintasi kawasan berkenaan dengan lembaga tersebut masih berada di atas bumbung kenderaan terbabit.

“Ketika itu, saya melihat seorang pelanggan lelaki yang duduk di meja sebelah saya seakan-akan terkejut dan mukanya mula pucat secara tiba-tiba.

“Saya memberanikan diri bertanyakan kepada lelaki berkenaan tentang apa yang telah berlaku.

“Dia memberitahu turut melihat kelibat lembaga tersebut sebaik van jenazah itu melintasi kawasan berkenaan.

“Saya kemudiannya menceritakan perkara sama yang berlaku ketika bertemu kenderaan itu sejam sebelum itu kepada lelaki tersebut,” ujarnya.

Tambah Razak, keesokan harinya selepas tiba di kampungnya, dia menceritakan kejadian tersebut kepada seorang ustaz yang kebetulan hadir ke masjid berdekatan rumahnya untuk memberi tazkirah selepas maghrib.

Ceritanya, ustaz tersebut memberitahu bahawa lembaga wanita yang berada di atas van jenazah itu berkemungkinan jelmaan mayat yang sedang dibawa.

“Ustaz itu juga cakap, roh jenazah mungkin tidak aman disebabkan ada masalah semasa hidup di dunia.

“Apa juga kemungkinan yang diberikan, kejadian yang disaksikan oleh mata dan kepala saya itu telah memberikan satu pengalaman menyeramkan.

“Malah, setiap kali bertemu van jenazah pada waktu malam, saya pasti akan terbayang kejadian berkenaan walaupun kenderaan itu sedang parkir,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN