fbpx
DOLLA dibakar terik mentari dek pembikinan video muzik lagu baharu mereka, Damelo.

Dolla ‘kepanasan’ ketepikan toksik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

TIGA tahun berkecimpung dalam dunia seni muzik, Dolla berjaya membuktikan kemunculan mereka bukanlah ibarat tin kosong atau sekadar menyerikan industri hiburan.

Mencetuskan fenomena dengan muzik yang diperjuang, Dolla yang dianggotai Tabby, Sabronzo, Syasya dan Angel kini ternyata berada dalam kelas tersendiri.

Lancarlah apa sahaja lagu, semuanya ‘menjadi’. Belum pernah lagi dengar cerita lagu-lagu milik Dolla sebelum ini menerima respons yang hambar.

Bahkan, hampir semua karya berada dalam katalog muzik mereka meraih jutaan pendengar dan tontonan menyeberangi pelbagai platform muzik. Lebih memberangsangkan, lagu raya perdana mereka, Raya Raya

Raya juga menjadi fenomena, membuktikan bahawa itulah impak Dolla kepada dunia hiburan tanah air ketika ini.

Biar kerap didakwa ingin meniru kumpulan Korea Selatan popular iaitu Blackpink, Dolla masih kekal berada dalam liganya tersendiri.

DOLLA terus mencari kelainan dalam muzik apabila hadir dengan buah tangan terbaharu berjudul Damelo.

Damelo

Terus memperluaskan kuasa muzik, Dolla kini muncul dengan buah tangan berjudul Damelo iaitu sebuah lagu yang mengetengahkan elemen muzik Sepanyol.

Menurut Tabby, 23, Damelo merupakan cetusan idea daripada Hard Light yang merupakan antara pemuzik popular tanah air.

“Demo awal Damelo yang kami terima karya daripada Hard Light dalam bahasa Sepanyol sepenuhnya.

“Selepas perbincangan, kami menukar kepada bahasa Malaysia dan tambah sedikit elemen lain untuk muziknya agar bersesuaian dengan konsep koreografi.

“Pertama kali mendengar lagu ciptaan Hard Lights ini, memang sudah yakin bahawa Damelo akan menjadi single kami yang seterusnya,” katanya.

Tambah Tabby, lagu Damelo juga dilihat seperti mengembalikan semula genre muzik pada awal kemunculan mereka sekitar tahun 2020.

Katanya, Damelo juga merupakan bukti kematangan mereka sepanjang bergelar anak seni.

“Jika diamati, kerancakan muzik Damelo sama seperti Dolla You Make Me Wanna tetapi dalam versi lebih matang.

“Ini hadiah istimewa buat peminat yang bukan sahaja dari Malaysia tetapi juga negara-negara di benua lain seperti Sepanyol dan Brazil.

“Kami juga tidak sangka muzik Dolla diterima baik di negara-negara lain. Perkara itu membuatkan Dolla lebih bersemangat untuk terus berkarya dan menghiburkan ramai,” tuturnya.

DOLLA gembira melihat banyak kumpulan muzik wanita memeriahkan industri muzik tanah air dan menyifatkan perkara tersebut sebagai sesuatu yang positif.

Berpanas

Berkongsi mengenai pembikinan muzik video yang sudah ditayangkan bermula 4 Ogos lalu, Sabronzo atau mesra disapa sebagai Sab berpuas hati melihat hasil akhir ditambah dengan komitmen hebat daripada semua ahli kumpulan.

“Idea utama ingin disalurkan dalam muzik video Damelo ialah mengenai kekuatan yang dimiliki oleh setiap individu terutama golongan wanita.

“Setiap ahli kumpulan Dolla turut mencurahkan idea dan pandangan bagi memastikan setiap yang dirancang menghasilkan sebuah visual hebat,” jelasnya.

Selain itu, Sab berkata proses pembikinan muzik video Damelo sememangnya mencabar buat mereka yang bukan hanya perlu menyanyi tetapi menari di bawah terik matahari.

“Ini merupakan sebuah pengalaman yang hebat dan kali ini benar-benar mencabar kemampuan kami sebagai penyanyi dan penari.

“Kami berjemur hampir seharian di tengah panas bagi menjayakan babak ala padang pasir sehingga kulit ‘terbakar’, namun syukur semuanya berjalan lancar dan tiada perkara buruk yang berlaku,” katanya lagi.

BERANI berfesyen, Dolla juga tidak mudah melatah dengan perbandingan kritikan peminat berhubung imej mahupun nuansa muzik mereka yang dikatakan meniru gaya selebriti luar negara.

Bangga

Sempat berkongsi rasa terharu dan bangga dengan perjalanan hebat sebagai penyanyi berkumpulan selama tiga tahun, Dolla tidak percaya mampu bertahan sehingga hari ini.

Menurut Syasya atau nama penuhnya Norsyasya Afiqah Shahrizal, walau kerap dikecam dan dikritik, perkara tersebut tidak sesekali mematahkan semangat Dolla untuk terus memahat nama di persada seni tanah air.

“Selepas memilih untuk bergelar penyanyi, kami cuba sedaya upaya memberikan yang terbaik dalam setiap karya disajikan kepada peminat.

“Bukan sekadar semangat sendiri, sokongan peminat yang tidak berbelah bahagi dan kerjasama hebat daripada pihak pengurusan iaitu Universal Music juga antara sebab utama kami berjaya berada di tahap ini,” ujarnya dalam nada sebak.

Menjawab pertanyaan mengenai keterbukaan apabila kerap dijadikan bahan perbandingan kumpulan wanita lain dalam atau luar negara, Syasya tidak melihat perkara tersebut sebagai toksik sebaliknya harus sesuatu yang positif.

“Sejak awal kemunculan, kami sedar mengenai isu perbandingan tetapi perkara itu tidak dipandang daripada sudut negatif.

“Sehingga kini, fokus kami hanya ingin lebih maju dan tiada istilah persaingan wujud dalam kamus kerjaya Dolla.

“Bahkan, kami sangat gembira melihat kemunculan banyak kumpulan wanita lain sejak beberapa tahun ini memeriahkan lagi industri muzik tanah air,” ujarnya.

Sebelum menutup temu bual, Dolla optimis mahu melihat lebih banyak bakat tempatan dipertonjolkan.

“Jika hendak berbicara mengenai perbandingan, kami tak pernah hiraukan.

“Setiap kumpulan memiliki identiti dan keunikan tersendiri, tidak perlu pun hendak membandingkan antara satu sama lain,” ujarnya.

DOLLA yakin setiap penyanyi mempunyai keunikan tersendiri. – FIRDAUS JOHARI
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN