fbpx

Tawaran PN disambut baik, Hanif yakin kalahkan Amiruddin di Sungai Tua

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Muhammad Hanif beramah mesra dengan petugas SPR ketika membuat lawatan pada proses pengundian awal di Depot Bekalan Pusat, Kor Perkhidmatan Diraja Batu Caves, hari ini. - Foto oleh SHIDDIEQIIN ZON / KOSMO!

GOMBAK – Calon Perikatan Nasional (PN), Muhammad Hanif Jamaluddin yakin merampas kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Tua pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-15 apabila tawaran parti itu menerima sambutan baik daripada masyarakat.

Menurutnya, kesemua tawaran tersebut yang mempunyai sifat membumi (menyeluruh) mampu mendapatkan keyakinan rakyat khususnya di Sungai Tua.

“Kalau nak kata (tawaran PH dan PN) lebih kurang pun, rakyat lebih bijak menilai dan melihat mana yang lebih baik.

“Hasil daripada pertemuan saya bersama rakyat di pasar dan sebagainya, setakat ini, mereka berasa yakin dengan tawaran tersebut dan saya rasa ia mampu memberikan kemenangan kepada PN,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas melawat pusat mengundi awal di Dewan Dato Yaacob, Depot Bekalan Pusat, Kor Perkhidmatan Diraja, Batu Caves, di sini hari ini.

Bagaimanapun, Hanif yang dikatakan sebagai calon ‘underdog’ (bukan pilihan) akui berdepan dengan cabaran sengit daripada calon Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Amiruddin Shaari.

“Secara khususnya, di Sungai Tua, semua sedia maklum berhadapan dengan (Menteri Besar) sudah pasti ia sangat ‘tough’ (sukar).

“Namun, kita akan menggunakan tawaran yang dikeluarkan sebaik yang boleh supaya rakyat khususnya di Sungai Tua ini dapat memahami tawaran itu dan memberikan undi kepada PN,” jelasnya.

Dalam pada itu, Hanif memberitahu, proses pengundian awal di sini berjalan dengan lancar dan berharap agar proses pengundian membabitkan DUN Sungai Tua pada Sabtu nanti juga berjalan dengan lebih baik.

Bagi DUN Sungai Tua, selain Amiruddin, Hanif juga berdepan dengan Suman Gopal yang bertanding atas tiket Bebas.

SPR sebelum ini menetapkan tarikh penamaan calon dan pengundian awal bagi PRN masing-masing pada 29 Julai dan 8 Ogos, manakala hari pengundian pada 12 Ogos ini.

PRN kali ini melibatkan sebanyak 36 kerusi DUN di Kedah, Kelantan (45), Terengganu (32), Pulau Pinang (40), Selangor (56) serta 36 DUN di Negeri Sembilan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI