fbpx

Beri masa, ruang Anwar perbetul negara – SPCAAM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu diberikan masa dan ruang kerana beliau sedang berusaha membetulkan ketidaksamaan ekonomi dan politik institusi di negara ini.

Penasihat Buruh Antarabangsa Persatuan Khidmat Nasihat Pencarum Perlindungan Sosial Malaysia (SPCAAM), Callistus Antony D’angelus berkata, pentadbiran kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri Ke-10 itu dilihat berada di landasan yang betul ketika ini.

“Terdapat jalan yang jauh di hadapan. Sebahagian daripada langkah Anwar untuk meningkatkan pendapatan, kekayaan dan gaji, jadi beliau perlu melakukan pembaharuan secara institusi.

“Ini termasuk meningkatkan hak kesatuan sekerja terutama yang melibatkan hak pekerja untuk diwakili kesatuan sekerja tanpa dihalang oleh perniagaan. Kesatuan perkhidmatan awam harus diberi hak terlibat dalam perundingan kolektif dengan kerajaan.

“Rakyat harus mempertimbangkan sama ada mahu diwakili kerajaan yang progresif dan berpandangan ke hadapan atau satu-satunya matlamat untuk menyemai perpecahan berdasarkan kaum dan agama,” katanya dalam kenyataan, di sini semalam.

Beliau berkata, pilihan raya enam negeri pada 12 Ogos ini menjadi pertempuran yang boleh menetapkan trajektori politik Malaysia untuk masa hadapan.

Jelasnya, kerajaan pimpinan Anwar sedang berdepan dengan ujian atas mandat politiknya walaupun kurang setahun memegang kuasa.

“Kerajaan Perpaduan berdepan serangan bertubi-tubi pembangkang yang menggunakan isu kaum dan agama untuk cuba menggugat dan meraih undi. Buat pertama kali dalam beberapa dekad Malaysia mempunyai peluang sebenar menetapkan semula dan meletakkan asas ke arah masyarakat sosial, ekonomi dan politik yang moden dan progresif.

“Malangnya ada pihak menggunakan kaum dan agama untuk mendapatkan sokongan dan bukannya menumpukan kepada perjuangan idea untuk memajukan Malaysia dan rakyat,” katanya.

Tambahnya, pentadbiran Anwar jelas serius mahu meringankan beban ekonomi golongan miskin, malah sudah memulakan perbincangan mekanisme gaji baharu serta komited mengkaji semula gaji kakitangan awam dan pesara.

“Perkara itu sudah lama tertangguh. Semasa kerajaan dibayangi ahli politik rasuah dan kroni, rakyat biasa paling menderita. Krisis kos sara hidup yang dihadapi rakyat adalah akibat langsung daripada keadaan itu,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI