fbpx

Rachel makin hampir tamat penantian

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
RACHEL akan berdepan Ainaa di peringkat separuh akhir Kejohanan Skuasy Kebangsaan di Pusat Skuasy Nasional esok. - SRAM

KUALA LUMPUR – Pertembungan hangat dijangka berlaku pada aksi separuh akhir Kejohanan Skuasy Kebangsaan WCE SRAM ke-38 di Pusat Skuasy Nasional, Bukit Jalil esok.

Pilihan pertama Divisyen Premier Wanita, Rachel Arnold akan bertemu pilihan ketiga/empat, Noor Ainaa Amani Ampandi selepas mereka berjaya menewaskan lawan masing-masing di pusingan kedua hari ini.

Rachel tiada masalah menyingkirkan pemain muda, Doyce Lee 11-4, 11-4, 11-9 dalam tempoh 15 minit, manakala Ainaa pula menundukkan Wong Heng Wai dari Kedah 11-4, 11-8, 12-10.

“Sudah agak lama saya tidak beraksi menentang Ainaa, mungkin dua tahun kami tidak pernah bertemu sesama sendiri.

“Saya lebih kerap jumpa Ainaa sebagai rakan sepelatih dalam skuad kebangsaan tetapi tidak sebagai lawan,” kata Rachel yang kali terakhir bergelar juara kebangsaan pada 2019.

Satu lagi aksi separuh akhir esok bakal menemukan dua pemain muda, Aira Azman yang diletakkan sebagai pilihan kedua menentang Yee Xin Ying.

Bagi Divisyen Premier Lelaki, Muhammad Addeen Idrakie Bahtiar meneruskan momentum kemenangan apabila menewaskan Muhammad Amir Amirul Azhar 11-4, 11-5, 11-7 untuk berentap dengan Ong Sai Hung di separuh akhir esok.

IVAN enggan mengambil mudah cabaran Ameeshenraj pada aksi separuh akhir Kejohanan Skuasy Kebangsaan di Pusat Skuasy Nasional esok. – SRAM

“Hari ini saya beraksi dengan lebih kemas dan kurang melakukan kesilapan dan fokus ketika bermain. Mental kena kuat bagi mengajak lawan lebih banyak berlari dalam gelanggang.

“Sudah tentu saya mahu menang, jadi saya perlu fokus kepada pencabar saya terlebih dahulu,” jelas Addeen.

Pilihan kedua kejohanan, Ivan Yuen pula mudah mengalahkan Muhammad Hafiz Zhafri Abdul Harif 11-2, 11-6, 11-7 untuk menempah pertemuan dengan C. Ameeshenraj dalam satu lagi separuh akhir esok.

Ameeshenraj mencipta kejutan apabila menyingkirkan pilihan ketiga/empat, Mohammad Syafiq Kamal 15-13, 11-2, 11-9 dalam tempoh 54 minit permainan.

“Kejohanan Kebangsaan merupakan antara pertandingan kegemaran saya tetapi saya tidak mahu terlalu yakin, lebih baik ambil langkah demi langkah.

“Dia seorang pemain muda yang sedang meningkat naik, jadi saya jangkakan ia tidak mudah buat saya dengan peluang 50-50,” jelas Ivan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI