Rosmawati (kiri) dan Rosmanira melihat sangkar ikan patin dan tilapia yang terjejas ekoran Sungai Pahang menjadi cetek dan mengering ekoran cuaca panas.

Sungai Pahang jadi ‘padang pasir’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

TEMERLOH – Penternak ikan patin sangkar di sini, rugi besar apabila Sungai Pahang yang selama ini dianggap lubuk pendapatan bagai bertukar menjadi ‘padang pasir’ selepas airnya kering ekoran cuaca panas yang melanda sejak beberapa bulan lalu.

Penduduk Kampung Tanjung Berangan dekat Kampung Pesagi, Chenor, Rosmawati Sulaiman, 41, berkata, dia belum pernah lihat dan terfikir Sungai Pahang seolah-olah menjadi padang pasir.

Katanya, cuaca panas dan ­tiada taburan hujan yang banyak dari hulu telah membentuk be­ting pasir di sepanjang sungai di beberapa kampung berdekatan.

“Ia telah mengehadkan aktiviti nelayan dan menyebabkan segelintir pengusaha ikan sangkar tanggung rugi.

“Saya ternak ikan sejak 2020 tetapi kali ini benar-benar terasa ‘sakit’ kerana terpaksa jual ikan yang belum matang sebelum ia mati. Sepatutnya dijual pada harga RM22 sekilogram tetapi sebab tak mahu rugi, kena lelong RM16,” katanya ketika ditemui di sini.

Beginilah keadaan Sungai Pahang yang kering hingga menjejaskan penternakan ikan sangkar di beberapa kampung berdekatan.

Menurut Rosmawati, sebelum ini dia mempunyai empat sangkar yang dipenuhi ikan patin dan tilapia, namun kini hanya tinggal satu sahaja untuk makan sendiri selepas ikan yang lain dilelong.

Tambahnya, keadaan itu me­ngakibatkan mereka susah untuk membuat jualan lebih 100 ekor ikan seperti sebelum ini.

“Saya rugi lebih RM10,000,” katanya.

Seorang lagi pengusaha, Jamil Awang Noh, 64, berkata, kejadian itu disifatkan paling buruk pernah berlaku sepanjang 27 tahun dia menternak ikan sangkar.

“Beting pasir mula jelas kelihatan sejak Julai lalu. Kebanyakan ikan di dalam 35 sangkar yang saya usahakan terjejas dan mati kerana ketiadaan oksigen ekoran air tidak mengalir,” katanya.

Ujar Jamil, dia tidak boleh lagi mengagak keadaan di su­ngai tersebut kerana keba­nyakan 39,000 benih ikan yang dilepaskan dalam tempoh sama sebelum ini mati hingga kerugian RM60,000.

“Saya tidak lagi menjual ikan kepada pemborong sebaliknya menjual sendiri di Pekan Sehari Chenor dan di rumah untuk menjimatkan kos,” katanya.

Seorang penduduk, Rosmanira Borhan, 38, berkata, kejadian itu tidak pernah berlaku seumur hidupnya.

“Ibu saya juga menganggap ia fenomena luar biasa. Sebelum ini ada kejadian beting pasir tetapi tidaklah kering seperti sekarang,” katanya.

Jamil kerugian RM60,000 ekoran benih ikan mati di Sungai Pahang.

Rosmanira berkata, walaupun di luar musim kemarau, ketia­daan taburan hujan di hulu su­ngai turut menjadi penyumbang kepada situasi ini.

Katanya lagi, jika sebelum ini, penduduk masih boleh berkelah dan mandi di sungai berhampiran di beting pasir itu, kini mereka tidak lagi dapat menikmati suasana itu.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Pe­sagi, Abd. Rahim Yaakob berkata, be­ting pasir yang terbentuk me­rupakan kejadian biasa berlaku setiap tahun.

Jelasnya, walaupun pembentukan beting pasir ini menghalang laluan bot dan aliran arus air, namun ia bukanlah sesuatu yang luar biasa atau pelik.

Sebelum ini Kosmo! me­laporkan mengenai bekalan ikan patin hanya mampu bertahan beberapa bulan lagi ekoran kekurangan benih selain air su­ngai yang keruh.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN