fbpx

Usaha promosi LGBTQ di Malaysia tidak diterima- Mohd. Na’im

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Na’im Mokhtar

PUTRAJAYA-Mana-mana usaha untuk mempromosi serta menormalisasikan gaya hidup songsang yang bercanggah dengan ajaran Islam dan fitrah insan seperti lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) adalah tidak boleh diterima sama sekali di Malaysia.

Perkara itu ditegaskan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar sebagai memberi reaksi kepada isu perhimpunan di hadapan Kompleks Sogo di ibu negara oleh kumpulan yang membawa sepanduk berkaitan LGBT dan ajaran Ahmadi.

Susulan itu, katanya, usaha menyekat penyebaran fahaman songsang tersebut perlu dilaksanakan dengan bersungguh-sungguh dan bersepadu.

“Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) telah melakukan siasatan terhadap kes tersebut di bawah Akta 559, Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997.

“Selaku pihak berkuasa agama Islam di Wilayah Persekutuan, Jawi tidak akan berkompromi dengan sebarang perbuatan yang bertentangan dengan ajaran Islam serta undang-undang yang sedang berkuatkuasa,” katanya dalam satu kenyataan di sini tadi.

Katanya, Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) ingin menasihatkan seluruh umat Islam agar terus berpegang teguh kepada ajaran Islam serta menjauhkan diri dari terlibat dengan apa jua ajaran dan fahaman bercanggah dengan akidah, syariat dan akhlak Islam.

“Kami juga merakamkan ucapan terima kasih dan tahniah kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) kerana telah mengambil tindakan menyiasat kes tersebut,” katanya.

Semalam, polis mengesahkan bahawa lapan lelaki yang berhimpun di hadapan pusat beli belah SOGO pada Sabtu bagi menyokong hak golongan LQBT sudah ditahan.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd Zain berkata, semua individu berusia antara 18 hingga 56 tahun ditahan pada hari kejadian. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI