fbpx

Ketahui hak peminjam Kredit Komuniti elak ditipu scammer

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pengetahuan berkenaan hak peminjam penting untuk membantu pengguna membezakan antara perkhidmatan Kredit Komuniti yang sah dengan ah long. – Gambar hiasan

PUTRAJAYA – Pengguna yang berhasrat mendapatkan khidmat pinjaman wang secara berlesen daripada Pemberi Pinjam Wang (PPW) ataupun lebih dikenali sebagai Kredit Komuniti (KK) dinasihatkan untuk memahami hak-hak peminjam bagi mengelakkan mereka menjadi mangsa pe­nipuan.

Meskipun perkhidmatan KK dikawal selia oleh Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) menerusi Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 (Akta 400), namun pengguna perlu bertindak bijak dengan mengetahui hak-hak mereka sebelum bersetuju membuat sebarang bentuk pinjaman.

Penolong Pesuruhjaya Polis, Cawangan Siasatan dan Pemantauan, Bahagian Kawalan Kredit Komuniti, Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT), Asisten Komisioner Polis Ku Mashariman Ku Mahmood berkata, pengetahuan terhadap hak peminjam bukan sahaja membolehkan pengguna memahami konsep pinjaman, tetapi mendidik mereka supaya dapat membezakan antara KK dengan ah long atau scammer.

Katanya, kadar faedah pinjaman kepada peminjam yang ditawarkan oleh KK merupakan antara yang perlu diberi tumpuan utama bagi memastikan pengguna tidak membayar balik pinjaman melebihi jumlah yang ditetapkan.

“Dalam konteks ini, peminjam hanya perlu membayar kadar faedah pinjaman tidak melebihi 12 peratus setahun bagi pinjaman bercagar, manakala jumlah tidak melebihi 18 peratus setahun pula ditetapkan bagi pinjaman tidak bercagar.

“Selain itu, berdasarkan kepada Seksyen 17A Akta 400 telah memperuntukkan bahawa jumlah faedah yang dikutip oleh KK tidak dibenarkan melebihi jumlah pokok pinjaman di mana sebagai contoh jika peminjam meminjam sebanyak RM10,000, jumlah bayaran balik faedah dalam keseluruhan tempoh pinjaman tidak boleh melebihi nilai pinjaman pokok RM10,000 berkenaan “ katanya dalam satu temu bual khas bersama Kosmo! di sini baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Ku Mashariman memberitahu, setiap perjanjian antara peminjam dan KK perlu menggunakan dokumen perjanjian pinjaman yang ditetapkan dalam Akta 400 iaitu Jadual J bagi pinjaman tanpa cagaran dan Jadual K untuk pinjaman bercagar.

“Pada masa sama, peminjam juga berhak diberikan satu salinan dokumen perjanjian pinjaman secara percuma serta diingatkan untuk menyimpan dokumen perjanjian tersebut. Peminjam juga perlu mendapatkan resit setiap kali bayaran balik dibuat.

“Peminjam juga diingatkan agar tidak menandatangani dokumen perjanjian pinjaman kosong. Sebarang transaksi pinjaman perlu diterima selepas dokumen perjanjian pinjaman lengkap diisi, dimatikan setem dan urus niaga perlu dibuat di premis yang berdaftar sahaja,” tegasnya.

Terkini, penyerahan wang pinjaman adalah dari akaun syarikat KK perlu dibuat secara Electronic Fund Transfer (EFT) iaitu terus kepada akaun milik peminjam dan bukannya secara serahan tangan (tunai). Tegasnya lagi, peminjam juga dinasihatkan agar tidak menyerahkan kad ATM mereka kepada KK.

Untuk rekod, sehingga 30 Jun 2023, terdapat sebanyak 4,699 syarikat KK berlesen seluruh negara di mana lesen bagi Semenanjung Malaysia dikeluarkan oleh KPKT, manakala bagi Sarawak, Sabah dan Labuan diuruskan oleh kerajaan negeri masing-masing.

KK merupakan satu entiti yang berbeza dengan ah long di mana semakan maklumat berhubung perkhidmatan KK boleh dibuat melalui aplikasi i-KrediKom. Kadar faedah ditetapkan adalah seperti dinyatakan di atas dan kadar denda lewat bayar ansuran bulanan rendah iaitu sekitar lapan peratus setahun.

Ku Mashariman Ku Mahmood

Berbeza dengan ah long, entiti itu menetapkan kadar faedah tinggi hingga mencecah 50 peratus sebulan, terma perjanjian pinjaman adalah mengikut kehendak mereka dan kebiasaanya tiada perjanjian bertulis dibuat. Selain itu, ah long juga mengenakan denda lewat bayar terlalu tinggi hingga menyukarkan peminjam dan melibatkan unsur kekerasan kepada peminjam.

Manakala, scammer merujuk kepada penawaran pinjaman yang tidak wujud.

Mengulas lanjut, Ku Mashariman berkata, KK merupakan entiti yang dikawal selia oleh KPKT seterusnya membolehkan syarikat itu memberi pinjaman mengikut kadar faedah yang ditetapkan berdasarkan akta dan peraturan yang berkuat kuasa dan perlu memperbaharui lesen setiap dua tahun sekali.

“Selain itu, KPKT juga sentiasa menjalankan kawal selia yang berterusan melalui pemantauan berkala terhadap syarikat KK bagi memastikan hak-hak peminjam terjamin termasuk melibatkan kadar faedah, tiada kekerasan dan banyak lagi.

Bagi aduan yang diterima dari peminjam, pihak KPKT akan menjalankan siasatan lanjut dan sekiranya wujud kesalahan, tindakan kompaun akan dikenakan atau pertuduhan di mahkamah akan dibuat terhadap syarikat KK. Tambahan itu, KPKT juga akan mengambil tindakan tegas bagi menggantung atau membatalkan lesen syarikat KK yang melanggar akta dan peraturan yang sedang berkuat kuasa.

“Akhir ini, terdapat peningkatan aduan yang diterima daripada peminjam dan melalui siasatan yang dijalankan, kami mendapati ramai pengadu tersebut yang terlibat dengan pinjaman ah long dan tipu daya scammer yang menyamar sebagai syarikat KK berlesen” ujarnya.

“Bakal peminjam adalah dinasihatkan agar tidak membuat sebarang bayaran deposit atau wang pendahuluan atas alasan semakan butiran di CTOS atau Bank Negara kerana dikhuatiri merupakan scammer yang menyamar sebagai KK berlesen” ujarnya.

“Jadi, paling penting ialah peminjam harus teliti dan perlu faham hak-hak mereka sebelum menjalankan sebarang urusan pinjaman agar tidak menjadi mangsa penipuan.

“Sebelum ini, ada aduan yang kami siasat di mana peminjam mendedahkan bahawa dia membuat urusan pinjaman di luar premis syarikat KK atau secara dalam talian dan telah menandatangani perjanjian kosong untuk mendapatkan RM20,000. Tetapi, hasil siasatan mendapati bahawa peminjam ini telah diperdaya oleh ah long dan kes ini telah dirujuk kepada Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Polis Diraja Malaysia untuk tindakan selanjutnya” jelasnya.

Berdasarkan aduan yang diterima juga mendapati terdapat scammer yang telah menyalahgunakan nama syarikat KK yang berdaftar di media sosial, aplikasi WhatApps dan laman sesawang untuk memperdaya peminjam. Pihak KPKT telah mengambil tindakan mengemukakan aduan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk tindakan sekatan terhadap laman sesawang tersebut.

Susulan itu, Ku Mashariman menasihatkan peminjam agar memastikan urusan berkaitan transaksi pinjaman hendaklah dibuat di premis syarikat yang berdaftar dengan disaksikan peraku saksi sama ada peguam ataupun pesuruhjaya sumpah.

“KPKT sentiasa tegas dalam memantau segala aduan dibuat oleh peminjam bagi memastikan integriti KK terus terjaga seterusnya menjadikan ia sebagai entiti pinjaman wang berlesen yang mematuhi undang-undang dan dipercayai,” jelasnya

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI