fbpx
RAZAK terpaksa melupakan hasrat menetap di rumah neneknya selepas diganggu jin. – ILUSTRASI SHAH HASAN

Diganggu penunggu rumah pusaka

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SETELAH sekian lama tinggal di kota, lelaki itu bercadang berpindah ke kampung selepas mendapat tahu dia merupakan pewaris kepada rumah arwah neneknya.

Umpama pucuk dicita ulam mendatang, berita bahawa dirinya merupakan pewaris rumah tersebut bagaikan rezeki yang tidak disangka.

Hal ini memandangkan, dia dalam perancangan untuk mencari tanah di kawasan kampung.

Sebagai cucu sulung, Razak (bukan nama sebenar) mewarisi rumah pusaka arwah nenek selepas bapanya yang merupakan anak tunggal meninggal dunia sejak dia kecil.

“Selepas ayah meninggal dunia, saya dan ibu jarang pulang ke kampung nenek. Kalau ada pun setahun sekali memandangkan kampung nenek jauh di Perlis.

“Disebabkan terlalu sibuk di kota, saya dan keluarga tidak sempat menziarah nenek di kampung.

“Malah, ketika dia meninggal dunia pun kami sampai selepas semua urusan selesai,” katanya kepada Mitos baru-baru ini.

Meskipun tidak begitu rapat dengan nenek dan jarang pulang ke kampung, namun Razak begitu teruja mahu membawa keluarganya ke sana selepas mengubah suai rumah tersebut.

Tambahan pula, neneknya mempunyai kebun getah di belakang rumah dan Razak bercadang ingin menanam pokok buah dan sayur-sayuran.

Walaupun gembira dengan warisan yang diterima, namun bapa kepada empat cahaya mata itu tidak menyangka bahawa dia berdepan pengalaman tidak diduga.

Perkara itu menjadi pengalaman yang paling diingati oleh Razak. Ia berlaku semasa awal-awal dia mendapat rumah tersebut.

“Selepas mendapat tahu rumah itu diserahkan kepada saya oleh keluarga di sebelah ayah, saya terus melakukan renovasi.

“Bagaimanapun, ramai kontraktor dari kampung yang menolak apabila saya mahu mengupah mereka.

“Jadi, saya terpaksa mencari kontraktor di kawasan bandar.

“Awalnya, saya sudah pelik dengan keadaan itu. Situasi menjadi lebih aneh selepas kontraktor yang diupah dari bandar pula berhenti kerja separuh jalan serta memulangkan wang deposit tanpa alasan kukuh,” ujarnya.

Memandangkan tiada kontraktor yang mahu mengambil upah renovasi rumah nenek, Razak kemudian membuat keputusan melakukannya sendiri bersama rakan dari Kuala Lumpur.

Pada hari minggu, Razak pergi ke rumah nenek bersama rakannya itu untuk menyambung kerja renovasi yang ditinggalkan oleh kontraktor sebelumnya.

“Pada hari pertama, saya sudah seram sejuk dengan rumah nenek, namun tidak mengendahkan perasaan itu.

“Saya terus melakukan kerja-kerja membaiki dan menambah ruang dapur serta bilik air.

“Ketika mahu memecahkan dinding dapur, tukul yang saya guna terpelanting dari tangan seolah ada yang menolaknya.

“Kemudian, saya terdengar suara orang memekik yang tidak tahu dari mana datangnya,” kongsi Razak.

Tidak hanya itu, suara tersebut juga persis seperti neneknya yang membebel semasa dia tidak sengaja memecahkan pinggan sewaktu kecil dahulu.

Razak berkata, selepas mendengar suara itu, dia sudah merasa seram sejuk dan perkara tersebut turut dialami oleh rakannya.

Dengan berbekalkan ilmu agama yang ada, Razak cuba membaca potongan ayat al-Quran untuk mengusir anasir luar itu.

Untuk seketika keadaan menjadi aman kembali. Bagaimanapun, keadaan lebih teruk pada waktu malam ketika Razak dan kawannya sedang tidur.

Mereka mendengar bunyi bola yang melantun dan suara kanak-kanak ketawa.

Tidak hanya itu, dia juga mendengar bunyi tapak kaki orang berlari di dalam rumah, sekali gus membuat mereka tidak sedap hati.

Mereka tidak menghiraukan apa yang didengari dan cuba melelapkan mata sehingga tertidur.

“Esoknya, saya dan rakan amat terkejut kerana sedar-sedar kami sudah berada di luar rumah.

“Sebelumnya, kami tidur di ruang tamu. Hal itu membuat saya dan kawan terus keluar dari rumah nenek dan pergi ke rumah sepupu ayah yang terletak berdekatan,” katanya.

Selepas tiba di rumah sepupu ayahnya, Razak menceritakan perkara yang berlaku kepadanya. Bagaimanapun, cerita itu tidak mengejutkan sepupu ayahnya itu.

Dia yang merupakan seorang imam masjid memberitahu bahawa apa yang berlaku pada Razak disebabkan oleh penunggu yang menetap di rumah tersebut.

Cerita sepupu ayah Razak, penunggu itu bukanlah pendamping neneknya, tetapi merupakan jin yang masuk ke rumah kerana terlalu lama dibiarkan kosong.

Mendengar hal itu, Razak terus meminta lelaki separuh abad itu ‘membersihkan’ rumah berkenaan dan cuba menghalau jin tersebut keluar.

Bagaimanapun, hal tersebut begitu sukar dilakukan kerana jin berkenaan berkeras tidak mahu pindah keluar dari rumah itu.

Situasi tersebut menyebabkan Razak terpaksa membatalkan hasrat untuk menetap di rumah neneknya.

Sehingga kini, rumah berkenaan masih terbiar dan tidak dikunjungi oleh sesiapa termasuk Razak sendiri.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN