fbpx
Penyokong mengibarkan bendera parti ketika hadir pada Majlis Pengenalan Calon dan Pelancaran Manifesto Perpaduan Kedah di Sungai Petani, Kedah kelmarin. – SHAHIR NOORDIN

Perang kempen PRN bermula, saingan diramal sengit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Bahang pilihan raya di enam negeri semakin memuncak apabila parti-parti yang bertanding mula menyusun strategi kempen masing-masing selepas mengemukakan nama wakil mereka pada hari penamaan calon hari ini.

Negeri yang terlibat dalam PRN kali ini ialah Selangor, Pulau Pinang, Terengganu, Kedah, Kelantan dan Negeri Sembilan membabitkan sebanyak 245 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

PRN diadakan selepas lapan bulan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) berlangsung pada 19 November lalu yang menyaksikan tiada parti memperoleh kemenangan majoriti sebelum Kerajaan Perpaduan yang merupakan gabungan parti politik termasuk Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) dibentuk.

Persaingan PRN kali ini dijangka sengit apabila parti gabu­ngan PH-BN dan Perikatan Nasional (PN) mempertaruhkan calon-calon hebat terdiri daripada nama-nama besar dan personaliti untuk memenangi hati pengundi di kawasan masing-masing.

Keputusan PRN pada 12 Ogos ini begitu signifikan dalam memahami sikap pengundi terhadap senario politik semasa khususnya kerjasama PH-BN serta PN-Tun Dr. Mahathir Mohamad yang dirangka atas hujah Proklamasi Melayu.

Penganalisis politik dari Universiti Sains Malaysia, Prof. Ahmad Fauzi Abdul Hamid berkata, PRN diramal sengit kerana ia suatu referendum sikap rakyat terhadap kerajaan semasa dan situasi politik selepas PRU15.

“Perkara ini akan terlihat terutama di negeri yang perkemba­ngan ekonomi laju seperti Sela­ngor dan Pulau Pinang.

“Katakanlah Kerajaan Perpa­duan kekal tadbir Selangor dan Pulau Pinang, tetapi jika berlaku ‘hakisan’ undi, ia ‘wake-up call’ untuk bekerja lebih serius untuk menangani masalah rakyat,” katanya ketika dihubungi.

Ahmad Fauzi memberitahu, PRN kali ini juga menjadi medan melihat tahap pe­nerimaan pe­ngundi PH dan BN terhadap kerjasama dua gabungan parti itu yang tidak berlaku sebelum ini.

Jelasnya, cabaran PN pula melihat sejauh mana kempen terutama serangan yang dilancar ke atas Kerajaan Perpaduan memberi kesan kepada masyarakat.

Golongan personaliti yang ditampilkan sebagai calon mungkin untuk menarik pengundi muda, tetapi ia belum tentu pasti memberikan kemenangan.

Sementara itu, penganalisis politik dari Universiti Malaya, Prof. Madya Dr. Awang Azman Awang Pawi berkata, PRN kali ini sengit kerana kecenderungan parti bertanding untuk menawan negeri-negeri dikuasai lawan.

“Sentimen kenegerian dimainkan, tokoh-tokoh besar dan personaliti menjadikan persaingan PRN lebih sengit,” katanya.

Penganalisis politik dari Universiti Teknologi Mara, Mujibu Abd. Muis pula berkata, beliau melihat cabaran utama PRN kali ini adalah untuk merebut undi Melayu dan orang muda.

“Walaupun kita lihat atas kertas akan berlaku status quo, tapi apa yang saya perhati ‘pepera­ngan di lapangan’ adalah undi Melayu. Cabaran kedua adalah pengundi muda yang masih sukar dijangka dan difahami kerana rata-rata mereka tidak menyertai parti politik selain sukar didekati secara fizikal, tetapi aktif dalam media sosial.

Oleh itu, mana-mana parti politik yang berjaya menguruskan dan memperoleh sokongan dua kategori pengundi itu mampu menjadi pemenang Ogos ini.

“Jumlah dan kelompok pe­ngundi muda paling ramai, jadi tidak ada mana-mana parti boleh anggap mereka sebagai deposit tetap. Pada PRU15, pe­ngundi muda terarah kepada PN, tetapi fokus yang diberikan Perdana Menteri kepada golongan itu nampak mampu beri impak,” katanya.

Dalam pada itu, beliau tidak menjangkakan kerjasama PN dan Mahathir akan menjadi isu yang boleh menjejaskan sokongan penyokong Pas terhadap PN kerana konsep wala’ dalam kalangan ahli parti berkenaan sangat kuat.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN