Pendaftaran kemasukan ke institusi pengajian tinggi (IPT) baik awam mahupun swasta sudah pun bermula.
Difahamkan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia antara yang terawal membuka pintu kemasukan pelajar baharu dan pastinya ada ibu bapa runsing memikirkan penyediaan wang yuran pendaftaran dan keperluan anak termasuk wang saku.
Jangan pandang enteng kerana hal ini benar-benar berlaku khususnya dalam kalangan golongan miskin tegar. Ramai memilih untuk menolak tawaran kerana tidak mampu.
Usah biarkan anak anda terlepas peluang ini kerana hakikatnya ada banyak pilihan bantuan kewangan ditawarkan pelbagai pihak bagi membolehkan generasi pelapis harapan negara itu menyambung pengajian.
Selain Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), ada kira-kira 25 bantuan pendidikan tinggi untuk pelajar IPT 2023 ditawarkan pusat zakat, baitulmal dan yayasan meliputi seluruh negara. Permohonan boleh dibuat secara terus ke agensi tersebut.
Antaranya, bantuan zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, Skim Bantuan Kewangan Pelajar IPTS/IPTA Risda, Bantuan Skim Dana Ehsan, Bantuan Kewangan Pelajar Kolej Komuniti, Bantuan Pendidikan Untuk Pelajar Asasi Universiti Awam, Bantuan Kewangan Anak Sarawak, Yayasan Pelajaran Johor dan banyak lagi.
Pendek kata, setiap negeri ada menawarkan kemudahan ini bagi mengurangkan jurang keciciran kemasukan pelajar ke pusat pengajian tinggi.
Menerusi senarai yang dikeluarkan, terdapat hampir 100 pihak yang menawarkan biasiswa dan pinjaman untuk sesi pengajian 2023/2024 termasuk organisasi korporat seperti Petronas, Bank Rakyat, Khazanah Nasional Berhad, Bank Negara dan pelbagai lagi.
Bagi pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) pula, anda sebenarnya boleh membuat pengeluaran wang menerusi Akaun 2 untuk membolehkan anak menyambung pengajian.
Kebanyakan IPT memahami keadaan ekonomi keluarga pelajar dengan tidak mewajibkan melangsaikan yuran pengajian pada hari pendaftaran.
Bagi yang memerlukan bantuan kewangan, pihak IPT menawarkan pelbagai bentuk kemudahan, bahkan Unit Kebajikan Pelajar akan bekerjasama dengan pihak yang menguruskan zakat, wakaf dan sedekah untuk menyalurkan bantuan segera.
Ada juga IPT menyediakan bantuan berbentuk pinjaman sara diri, bantuan elaun makan dan pengecualian yuran kolej mengikut kelayakan.
Malah, sesetengah kolej kediaman menyediakan Dapur dan ‘Food Bank’ untuk mana-mana pelajar yang kurang mampu mendapatkan makanan bagi memastikan tiada pelajar terpaksa berlapar kerana masalah kewangan.
Diharap dengan perkongsian ini dapat meredakan termometer resah ibu bapa dan pelajar tidak berkemampuan. Sesungguhnya setiap masalah ada penyelesaian.














