fbpx

Mahkamah: Dua lelaki dihukum gantung bunuh pemandu Grab

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gupreet (depan) dan Sua yang dijatuhi hukuman gantung selepas didapati bersalah membunuh pemandu grab tempatan. - Foto oleh AFIQ RAZALI / KOSMO!

SHAH ALAM – Perbuatan dua warga asing membunuh seorang pemandu Grab tempatan lima tahun lalu akhirnya berbalas apabila dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi hari ini.

Hakim Nurulhuda Nur’aini Mohamad Nor memutuskan demikian terhadap tertuduh, Sua Lay, 38 yang merupakan warga Myanmar dan Gurpreet Singh, 28, warga India selepas pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.

Nurulhuda dalam penghakiman memaklumkan tiada pembelaan yang timbul dan berbangkit berhubung kejadian pembunuhan pemandu Grab ini.

Tambahnya, alasan kedua-dua tertuduh yang dimaklumkan tidak memahami Bahasa Melayu juga tidak boleh diterima kerana boleh memberikan arahan berhenti awal dari tempat dituju selain memandu arah kepada penemuan kunci kereta jenis Perodua Myvi milik mangsa.

“Mangsa juga lemas akibat dijerut dan ada kecederaan pada leher selain penemuan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) kedua-dua tertuduh pada tali pinggang keledar bahagian pemandu.

“Walaupun tidak dikatakan (pembunuhan) zalim tetapi faktanya mayat (mangsa) ditinggal dalam kereta. Ini menunjukkan tertuduh tiada perasaan belas kasihan terhadap si mati.

“Atas alasan itu, saya bersetuju hujahan pihak pendakwaan dan (menjatuhi) hukuman gantung sampai mati kepada tertuduh,” katanya.

Mengikut pertuduhan, Sua Lay, 38 dan Gurpreet Singh, 28, didakwa dengan niat bersama-sama membunuh Aiman Nosri, 27, di tempat letak kereta, lorong belakang Blok C, Taman Selayang Makmur, Selayang Baru, Batu Caves dekat sini pada pukul 10.08 malam, 21 Jun 2018.

Sabit kesalahan boleh dihukum mati mandatori mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Terdahulu pada prosiding tersebut, kedua-dua tertuduh diwakili Peguam Siti Anis Che Ab. Wahab dan Peguam Muhamad Amirul Jamaluddin memohon agar anak mereka hanya dikenakan penjara dan sebatan berdasarkan peruntukkan baharu dalam Seksyen 302.

“Pembunuhan dalam kes ini juga bukan ‘brutal’ dengan penggunaan senjata.

“Penjatuhan hukuman sekiranya diteruskan mahkamah jarang sekali meletakkan maksimum sebaliknya (hanya) kepada penjenayah tegar dan kecam. Mohon penjara 30 tahun dan 12 sebatan,” katanya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Mohammed Heikal Ismail dalam hujahan pemberatan hukuman menjelaskan, menjatuhkan hukuman bukannya satu formaliti dan kerja rutin mahkamah, tetapi ia berdasarkan kepada falsafah dan tujuannya sendiri.

Tegasnya, Parlimen telah memberikan amanah kepada mahkamah untuk menjatuhkan hukuman. Oleh itu saya, mewakili masyarakat, dengan rendah diri pohon mahkamah menjalankan amanah seperti yang tersirat.

“Kesalahan tertuduh telah berjaya dibuktikan, mahkamah tidak perlu lagi menunjukkan simpati dengan mitigasi seperti kesusahan keluarga, kerjaya tamat dan lain- lain.

“Kesalahan membunuh adalah satu kes yang amat serius dengan tertuduh telah melakukan satu kesalahan jenayah keji. Fakta bahawa mereka datang ke negara ini untuk mencari rezeki walaupun telah diusir sebanyak dua kali sebelum ini menunjukkan bahawa Malaysia merupakan destinasi terbaik untuk mereka.

“Justeru, hukuman gantung dianggap setimpal kepada mereka selepas didapati bersalah,” katanya.

Seramai 18 saksi pendakwaan telah dikemukakan dengan kedua-dua tertuduh memilih memberikan keterangan bersumpah di kandang saksi sebelum ini dengan keseluruhan prosiding bermula 21 Januari 2021 hingga 18 Mei lalu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI